Hukuman penjara paling panjang dijatuhkan ke atas penyeludup badak sumbu di Vietnam
Seorang penyeludup badak sumbu dihukum penjara selama 14 tahun pada Rabu (9 Dis), iaitu tempoh hukuman paling panjang yang pernah dikenakan di mahkamah Vietnam bagi kesalahan itu.
(Gambar: Unsplash)
HANOI: Seorang penyeludup badak sumbu dihukum penjara selama 14 tahun pada Rabu (9 Dis), iaitu tempoh hukuman paling panjang yang pernah dikenakan di mahkamah Vietnam bagi kesalahan itu.
AFP dalam memetik kenyataan sebuah kumpulan pemuliharaan Vietnam melaporkan, negara itu merupakan hab penerimaan dan juga transit perdagangan haram hidupan liar yang bernilai bilion dolar.
Pihak berkuasa Vietnam sudah lama berusaha membanteras rangkaian perdagangan hidupan liar yang merentasi sempadannya, namun para pakar memberi amaran bahawa pasaran gelap masih aktif gara-gara langkah penguatkuasaan yang lemah.
Awal minggu ini, Do Minh Toan, 36 tahun dijatuhi hukuman penjara selama 14 tahun kerana terbabit dalam urusan jual beli dan menyeludup badak sumbu dari Amiriah Arab Bersatu (UAE) ke Vietnam.
Perbuatannya terbongkar pada 2019 setelah pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai di Hanoi mengesan bungkusan seberat 125 kilogram yang mencurigakan.
Barang yang diisi dalam bungkusan itu dibalut dengan plaster keras dan pihak polis terpaksa memecahkan balutan itu untuk memeriksa isi yang disembunyikan iaitu badak sumbu.
“Walaupun sering terdapat pandangan negatif tentang cara Vietnam mengendalikan jenayah melibatkan hidupan liar, hukuman berat sebegini menunjukkan bahawa pihak berkuasa negara ini mampu bertegas untuk mencegah jenayah ini,” ujar Timbalan Pengarah 'Education for Nature Vietnam' (ENV), Bui Thi Ha.
Pertubuhan itu mendedahkan bahawa Vietnam melaporkan 317 kes jenayah perdagangan haram badak sumbu sejak 2017.
Seramai 24 individu sudah diberkas dan didakwa dengan purata tempoh hukuman penjara yang dikenakan terhadap para pesalah adalah lebih daripada lima tahun.
Vietnam dan China kekal menjadi pasaran utama bagi penyeludupan gading gajah, tenggiling, bahagian badan harimau dan badak sumbu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.