Skip to main content

Dunia

Hukuman penjara dipendekkan, Ahok dijangka bebas Januari depan

Bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok yang dipenjara kerana menista agama Islam diberi peringanan hukuman iaitu dua bulan kurang daripada hukuman penjara yang dijatuhkan ke atasnya, sempena Hari Kemerdekaan Indonesia ke-73.

Anggaran Waktu Membaca:
Hukuman penjara dipendekkan, Ahok dijangka bebas Januari depan

Bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok. (Gambar: Muhammad Luthfi Rahman/ Merdeka.com)

Diterbitkan : 18 Aug 2018 08:02AM Dikemas Kini : 18 Aug 2018 08:07AM

JAKARTA: Bekas Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok yang dipenjara kerana menista agama Islam diberi peringanan hukuman iaitu dua bulan kurang daripada hukuman penjara yang dijatuhkan ke atasnya, sempena Hari Kemerdekaan Indonesia ke-73.

Selain Ahok, seramai lebih 102,000 banduan di seluruh republik itu turut diberikan pengampunan sama, manakala 2,220 lagi diberi pengampunan penuh.

"Ya, Ahok diberi peringanan hukuman selama dua bulan. Tetapi dia belum bebas dan dijangka bebas pada Januari tahun depan," kata seorang jurucakap yang ditemui Merdeka.com.

Ahok sebelum ini dijatuhi hukuman penjara dua tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan menista agama Islam pada Mei tahun lalu. Dia mencetuskan kemarahan rakyat Muslim apabila menukil sepotong ayat Quran semasa berkempen dalam pilihan raya gabenor Jakarta.

Ketika itu, Ahok popular dan mengintai pemilihan semula untuk mentadbir ibu kota sebuah negara majoriti penduduk Islam terbesar dunia.

Namun, kumpulan Islam mengetuai perhimpunan besar-besaran menggesa supaya dia disingkirkan dan kumpulan tegar mengundi memilih calon beragama Islam, Anies Baswedan.

Bulan lalu, peguam Ahok yang juga adik perempuannya, Cik Fifi Lety Indra berkata, anak guamnya lebih rela menjalani hukuman daripada dibebaskan sebelum tamat tempoh menjalani hukuman penjara kerana berkelakuan baik.

Ahok kini ditahan di Penjara Cipinang, Jakarta Timur. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita