Hukuman penjara, denda jika langgar peraturan Umrah: Lembaga Pengarah Umum Pasport Saudi
Warga dan golongan ekspatriat Saudi yang didapati memindahkan, menggajikan atau melindungi jemaah umrah yang tinggal di negara itu melebihi tempoh yang dibenarkan, akan dipenjara atau didenda.
(Gambar fail: BERITAmediacorp)
RIYADH: Warga dan golongan ekspatriat Saudi yang didapati memindahkan, menggajikan atau melindungi jemaah umrah yang tinggal di negara itu melebihi tempoh yang dibenarkan, akan dipenjara atau didenda.
Demikian menurut Pengarah Pentadbiran Perhubungan Awam dan Penerangan, Lembaga Pengarah Umum Pasport (Jawazat), Muhammad bin Abdulaziz Al-Saad.
Semasa pelancaran satu kempen tahunan Jabatan Pasport berkaitan musim Umrah, Encik Muhammad mengatakan bahawa golongan ekspatriat yang melanggar peraturan-peraturan Umrah akan dihantar pulang ke negara asalnya selepas menjalani hukuman penjara dan membayar denda, lapor Saudi Gazette.
Hukuman lebih berat akan dikenakan sekiranya jumlah pesalah melebihi seorang.
Kempen itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang peraturan-peraturan Umrah yang dilaksanakan di negara itu. Mengikut undang-undang negara, para jemaah tidak dibenarkan tinggal di Arab Saudi melampaui tempoh visa mereka.
Saudi Gazette melaporkan Jawazat sudah menjalankan persiapan untuk memenuhi keperluan para jemaah. Malah, ia sudah menubuhkan pejabat-pejabat di pintu-pintu masuk antarabangsa.
Para kakitangan terlatih disediakan dengan peralatan canggih untuk mengesan sebarang dokumen atau gambar palsu pada dokumen perjalanan rasmi para jemaah, kata Encik Muhammad kepada Saudi Gazette.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.