Hukuman 'luar biasa' dituntut terhadap penyerang masjid Christchurch
Penyerang masjid New Zealand, Brenton Tarrant akan dijatuhkan hukuman pada Khamis (27 Ogos) atas serangan yang membunuh 51 jemaah tahun lalu, dengan para mangsa yang terselamat menuntut agar dia terus meringkuk dalam penjara "sehingga ke akhir hayatnya".

Brenton Tarrant, semasa perbicaraan di Mahkamah New Zealand pada 24 Ogos 2020. (Gambar: John Kirk-Anderson menerusi Reuters)
CHRISTCHURCH: Penyerang masjid New Zealand, Brenton Tarrant akan dijatuhkan hukuman pada Khamis (27 Ogos) atas serangan yang membunuh 51 jemaah tahun lalu, dengan para mangsa yang terselamat menuntut agar dia terus meringkuk dalam penjara "sehingga ke akhir hayatnya".
Tarrant, 29 tahun, dibicarakan selama empat hari di Christchurch - tempat yang menjadi serangan berdarah pada 15 Mac 2019 - dengan lebih 90 saksi memberikan keterangan yang mengerikan mengenai serangan pengganas yang disifatkan sebagai paling dahsyat di New Zealand.
Pelampau kuasa kulit putih warga Australia itu mengaku bersalah atas 51 tuduhan membunuh, 40 percubaan membunuh dan satu tuduhan melibatkan pengganasan berhubung serangan tersebut setelah dia menarik balik pengakuan tidak bersalah.
Dia dijangka akan menjadi orang pertama di New Zealand yang akan dipenjara selama seumur hidup tanpa sebarang peluang dibebaskan secara bersyarat apabila Hakim Cameron Mander menjatuhkan hukuman.
New Zealand tidak mempunyai hukuman mati - meskipun sesetengah mangsa yang marah mengatakan bahawa hukuman itulah yang mereka mahukan untuk Tarrant - dan hukuman penjara seumur hidup biasanya bagi tempoh antara 10 hingga 17 tahun saja.
Bagi warga Singapura Hamimah Tuyan, yang suaminya Zekeriya terbunuh akibat kecederaan yang dialami 48 hari setelah serangan itu berkata adalah tidak adil jika Hakim Mander tidak menggunakan sepenuhnya kuasa mahkamah untuk menjatuhkan hukuman yang belum pernah dijatuhkan sebelum ini.
"Dia tidak layak dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selama 17, 25 atau 30 tahun, tetapi hukuman penjara seumur hidup sehingga ke akhir hayatnya," katanya kepada mahkamah pada Rabu.
"Dia tidak layak untuk mengemukakan rayuan, tentu sekali seorang pembunuh yang tidak berperikemanusiaan wajar diberikan layanan sebegini?
"Ini akan menjadi satu ketidakadilan yang sangat ketara, Yang Arif, jika dia diberikan peluang kedua dalam masyarakat."
Cik Hamimah berkata "tindakan kejam" Tarrant menyatukan rakyat New Zealand dari semua latar belakang yang sama-sama mengutuk keras perbuatannya itu.
"Saya yakin bahawa pada hari hukuman dijatuhkan pada Khamis, hukumannya akan menunjukkan betapa rakyat New Zealand mengutuk kezalimannya serta ideologi pelampau kulit putih yang berniat jahat," katanya.
Para saksi lain pula berkata hukuman penjara ke atas Tarrant hanyalah satu permulaan bagi hukuman selanjutnya.
"Semasa anda meringkuk dalam penjara, anda akan menyedari bahawa anda sekarang berada di dalam neraka dan hanya api neraka yang menantikan anda," kata Ahad Nabi, yang ayahnya Haji Daoud Nabi terbunuh dalam serangan ke atas masjid Al Noor di Christchurch.
Tarrant, yang tidak menunjukkan sebarang emosi sepanjang prosiding mahkamah, memutuskan untuk menggugurkan haknya untuk bercakap semasa perbicaraan tersebut, meskipun dia sebelum ini memecat pasukan peguamnya bulan lalu dengan tujuan untuk membela dirinya sendiri.
Sebaliknya, peguam yang dilantik mahkamah akan membuat kenyataan ringkas bagi pihaknya sebelum Hakim Mander menjatuhkan hukuman.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.