Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hukum guna vaksin COVID-19 adalah harus, kata Menteri Ehwal Agama M'sia

Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Dis lalu mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Hukum guna vaksin COVID-19 adalah harus, kata Menteri Ehwal Agama M'sia

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 23 Dec 2020 10:42PM Dikemas Kini : 23 Dec 2020 10:46PM

PUTRAJAYA: Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Dis lalu mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan ia wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataan pada Rabu (23 Dis) berkata ketetapan itu juga sudah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja.

"Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, terutamanya umat Islam agar patuh dan memberi kepercayaan penuh kepada kerajaan dalam menangani penularan pandemik COVID-19 menerusi penggunaan vaksin," katanya.

Dr Zulkifli berkata penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak.

Katanya ini terbukti, kaedah pencegahan melalui pemvaksinan dapat dilihat dalam enam keputusan yang mengharuskan penggunaannya oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia daripada 1988 hingga 2013.

INSTITUSI FATWA DUNIA TURUT AMBIL KETETAPAN SAMA

Enam keputusan berkenaan adalah berkaitan pelalian Rubela; imunisasi hepatitis B; imunisasi campak, tuberkulosis, batuk kokol, difteria, tetanus dan polio; pelalian vaksin meningococcal meningitis; vaksin Human Papillomavirus (HPV); dan vaksin Meningitis Menveo, katanya.

Di peringkat antarabangsa, katanya institusi-institusi fatwa dunia turut memfatwakan keharusan penggunaan vaksin, antaranya institusi terkemuka al-Azhar al-Sharif; Majlis Fatwa Kerajaan Amiriah Arab Bersatu; dan Majma’ Fuqaha’ al-Shari’ah Amerika Syarikat.

Justeru, dalam isu pengambilan vaksin COVID 19, ia adalah ketetapan yang ditetapkan oleh kerajaan, katanya.

"Ini kerana, kerajaan dituntut memutuskan sesuatu keputusan yang paling mendatangkan maslahah kepada keseluruhan rakyat, setelah menimbang tara faktor-faktor yang pelbagai serta setelah mendapatkan pandangan-pandangan daripada pihak-pihak yang berkepakaran dan juga berautoriti," katanya.

Sumber : Bernama/TQ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan