Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hujung minggu panas bagi Eropah, amaran kebakaran dikeluarkan

Anggaran Waktu Membaca:
Hujung minggu panas bagi Eropah, amaran kebakaran dikeluarkan

Gambar: AP

Diterbitkan : 19 Jun 2022 10:23PM Dikemas Kini : 19 Jun 2022 10:25PM
BERLIN: Apa sahaja yang berkaitan sumber air terbuka – kolam, tasik, sungai atau laut – semua itu menjadi tumpuan penduduk di Eropah barat yang ketika ini dilanda gelombang haba.

Orang ramai di Perancis dan Sepanyol misalnya, pada Sabtu (18 Jun) dan Ahad (19 Jun), mencari tempat untuk menyejukkan tubuh apabila petunjuk raksa mencecah bacaan 40 darjah Selsius.

Di Jerman, yang menjangka suhu persekitaran boleh mencapai 38 darjah Selsius, rakyatnya diingatkan oleh Menteri Kesihatan Jerman, Karl Lauterbach, supaya sentiasa menghidrasi tubuh, lapor AP.

Sebahagian orang juga memilih untuk berada di kawasan yang redup dikelilingi pokok-pokok besar sewaktu menghabiskan masa di luar rumah pada waktu siang.

“Haba dan kekurangan cecair dalam badan boleh menyebabkan kematian bagi golongan berusia. Kita perlu memberi perhatian pada warga tua dan juga mereka yang mempunyai kekurangan upaya,” ujar
Encik Karl Lauterbach.

Sementara itu, pihak berkuasa memberi amaran tentang kemungkinan kejadian kebakaran hutan di segenap rantau Mediterranean barat, berikutan kenaikan suhu dan kemarau panjang.

Perkhidmatan Pengurusan Kecemasan Eropah mengumumkan bahawa risiko kebakaran adalah pada status ekstrem dan sangat melampau di kebanyakan kawasan di Sepanyol. Lembah Sungai Rhone di Perancis, Sardinia, Sicily serta sebahagian Itali.

Blok 27 buah negara itu menempatkan 12 pesawat pemadam kebakaran dan sebuah helikopter sebagai persediaan membantu negara-negara yang berdepan situasi bencana tersebut sepanjang musim panas ini.

Pakar meteorologi di Perancis menyifatkan situasi semasa sebagai jarang terjadi, selain meramalkan kemuncak suhu mencapai 43 darjah Selsius pada hujung minggu, sebelum ribut petir membawa semula cuaca yang lebih dingin dari Atlantik.

Pakar juga menyatakan, gelombang haba yang kini dirasakan adalah petanda bahawa perubahan iklim menjadikan suhu ekstrem hadir lebih awal dari bulan Julai atau Ogos.
Sumber : AP/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan