Skip to main content

Dunia

Hujan rekod di Jepun ragut 8 nyawa, ribuan terkandas di Lapangan Terbang Narita

Anggaran Waktu Membaca:
Hujan rekod di Jepun ragut 8 nyawa, ribuan terkandas di Lapangan Terbang Narita

Orang ramai terkandas akibat hujan lebat di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, wilayah Chiba, Jepun pada 14 Ogos 2026. (Gambar: Kyodo menerusi REUTERS)

Diterbitkan : 14 Aug 2026 06:42PM
  • Hujan luar biasa di wilayah Chiba, Jepun, menyebabkan lapan maut dan lebih 7,000 penumpang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada 13 dan 14 Ogos.
  • Banjir akibat hujan lebat menjejaskan jalan raya, landasan kereta api, serta memutuskan bekalan elektrik dan gas kepada puluhan ribu rumah.
  • Pihak berkuasa, termasuk anggota tentera, dikerahkan untuk operasi menyelamat dan pusat pemindahan sementara dibuka untuk penduduk terjejas.
  • Gabenor Chiba menyifatkan situasi ini sebagai luar biasa, dengan hujan melebihi rekod terdahulu dan gangguan besar terhadap pengangkutan serta kehidupan harian.
Dijana oleh AI
OAMISHIROSATO: Hujan luar biasa di Jepun menyebabkan lapan orang maut dan ribuan penumpang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada Jumaat (14 Ogos), selain menjejas khidmat pengangkutan dan bekalan elektrik.

Lebih 360 milimeter (mm) hujan dicatatkan dalam tempoh 24 jam di beberapa kawasan di wilayah Chiba, bersebelahan Tokyo, ketika Jepun melalui antara minggu cuti paling sibuknya.

Hujan lebat itu menyebabkan jalan raya dan landasan kereta api dinaiki air, manakala anggota tentera dikerahkan untuk membantu usaha menyelamat.

Gabenor Chiba Toshihito Kumagai menyifatkan keadaan itu sebagai "amat luar biasa".

"Saya sudah menangani banyak bencana sebelum ini, tetapi saya tidak pernah mengalami keadaan seperti ini," katanya kepada wartawan.

Menurut penyiar awam NHK yang memetik pihak berkuasa Chiba dan polis, antara lapan mangsa yang maut termasuk seorang yang terperangkap di dalam kenderaan yang ditenggelami air.

SEKITAR 7,000 TERKANDAS DI NARITA

Kakitangan Lapangan Terbang Narita mengagihkan beg tidur, air dan makanan ringan kepada ratusan penumpang.

Ramai daripada mereka terpaksa bermalam di lapangan terbang pada Khamis (13 Ogos) selepas gangguan pengangkutan menyebabkan sekitar 7,000 orang terkandas.

Seorang penduduk Chiba, Minoru Yamasaki, 48 tahun, berkata beliau terpaksa menunggu sehingga empat jam untuk mendapatkan teksi.

Beliau sudah menempah sebuah hotel tetapi dimaklumkan bahawa penginapan tidak dapat disediakan, menyebabkan beliau kembali ke lapangan terbang kerana tiada tempat lain untuk dituju.

Seorang jurucakap lapangan terbang berkata kebanyakan penerbangan dijangka beroperasi seperti biasa pada Jumaat (14 Ogos).

BEKALAN ELEKTRIK, PENGANGKUTAN TERJEJAS

Lebih 20,000 rumah terputus bekalan elektrik pada awal Jumaat (14 Ogos) selepas sebuah pencawang elektrik dinaiki air, menurut syarikat utiliti Tokyo Electric Power.

Bekalan gas kepada hampir 13,000 pengguna turut terputus buat sementara waktu.

Di bandar Chiba, antara kawasan yang paling teruk terjejas, ratusan penduduk bermalam di pusat pemindahan sementara yang dibuka di bangunan pemerintah.

Beberapa lebuh raya utama di Chiba turut ditutup, menyebabkan para pemandu menggunakan laluan alternatif sehingga berlaku kesesakan lalu lintas.

Beberapa khidmat kereta api juga digantung pada Jumaat, meskipun sebahagian khidmat dari Narita ke Tokyo kembali beroperasi.

Pihak berkuasa cuaca menyatakan sebanyak 367mm hujan dicatatkan dalam tempoh 24 jam di Chiba, mengatasi rekod sebelumnya sebanyak 309mm yang dicatatkan pada Oktober 2013.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita