Skip to main content

Dunia

Hujan lebat, cuaca sejuk burukkan lagi keadaan hidup di Gaza

Hujan lebat dan suhu sejuk yang melanda Carikan Gaza memburukkan lagi keadaan hidup beratus-ratus ribu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal.
Anggaran Waktu Membaca:
Hujan lebat, cuaca sejuk burukkan lagi keadaan hidup di Gaza
Seorang wanita Palestin berjalan di sebelah deretan khemah dalam hujan di Gaza City. (Gambar: REUTERS)
GAZA CITY: Hujan lebat dan suhu sejuk yang melanda Carikan Gaza memburukkan lagi keadaan hidup beratus-ratus ribu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal. Ini sedang Israel terus menyekat penghantaran bekalan perlindungan seperti khemah dan barangan asas ke wilayah yang dikepung itu, lapor Astro Awani.

Kesan daripada serangan ketenteraan Israel selama dua tahun memusnahkan lebih 198,000 struktur di Gaza, menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ramai penduduk kini tinggal di khemah sementara yang tidak mampu menahan cuaca ekstrem, menyebabkan banjir dan kebocoran yang menjejaskan keselamatan serta kesihatan mereka.

“Saya menangis sejak pagi,” kata seorang penduduk yang terpaksa membersihkan air bertakung di luar khemahnya selepas hujan pertama musim sejuk melanda Gaza City pada Jumaat (14 Nov).

Agensi bantuan kemanusiaan sebelum ini memberi amaran selama beberapa minggu bahawa penduduk Gaza tidak mempunyai keperluan asas untuk menghadapi musim sejuk.

Ramai yang sudah dipindahkan berulang kali akibat konflik, dan kini berdepan risiko tinggi penyakit, hipotermia dan kekurangan makanan.

Namun, Israel dilaporkan terus menyekat penghantaran khemah dan barangan perlindungan atas alasan keselamatan, walaupun rayuan antarabangsa semakin meningkat, lapor Astro Awani.

Jurucakap Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) Adnan Abu Hasna, menyifatkan ribut yang mendatang sebagai berpotensi membawa “kesan bencana” kepada hampir dua juta penduduk yang tidak mempunyai tempat perlindungan yang selamat.

Jabatan Meteorologi Palestin turut mengeluarkan amaran banjir kilat di kawasan rendah dan lembah di Gaza dan Tebing Barat, dengan ramalan ribut petir dan angin kencang dalam beberapa hari akan datang, lapor Astro Awani.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita