Hujan lebat berterusan tahap waspada di 6 negeri termasuk Johor
Hujan lebat berterusan tahap waspada dijangka berlaku di enam negeri di Malaysia. (Gambar: Bernama)
This audio is generated by an AI tool.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataannya memaklumkan, amaran hujan berterusan itu dijangka berlaku di Sabah mulai Jumaat sehingga Sabtu membabitkan Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat.
Selain seluruh Terengganu, amaran sama dikeluarkan bagi Kelantan melibatkan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh manakala Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin) yang dijangka bermula Sabtu hingga Ahad.
"Di Johor pula, hujan berterusan dijangka berlaku mulai Ahad ini sehingga Isnin depan di Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru."Bagi Sarawak, amaran cuaca sama dijangka di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Pakan, Meradong, Sibu dan Selangau selain Mukah serta Bintulu bagi tempoh sama," kata MetMalaysia dalam kenyataannya di Facebook.
Ketua Pengarah METMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata tiada sela masa khusus antara satu episod hujan lebat dengan episod berikutnya, namun amaran akan dikeluarkan sekurang-kurangnya tiga hari lebih awal jika terdapat tanda-tanda cuaca buruk.
Pada Rabu (3 Dis), BH Online melaporkan cuaca di Malaysia dijangka kekal baik untuk tempoh beberapa hari lagi, namun episod hujan lebat Monsun Timur Laut (MTL) seterusnya boleh berlaku pada bila-bila masa bergantung kepada luruan monsun dan kemasukan udara lembap.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.