Skip to main content

Dunia

Hujan lebat, banjir kilat landa beberapa kawasan Australia

Anggaran Waktu Membaca:
 Hujan lebat, banjir kilat landa beberapa kawasan Australia

Bandar di sekeliling Townsville, Queensland dilanda banjir akibat hujan lebat. (Gambar: Handout / Queensland Fire Department / AFP)

Diterbitkan : 11 Feb 2025 09:32AM Dikemas Kini : 11 Feb 2025 09:35AM
ISTANBUL: Hujan lebat dan banjir kilat melanda beberapa bahagian Australia pada Isnin (10 Feb) berikutan permulaan musim monsun, lapor Agensi Anadolu.

Sydney, ibu kota New South Wales (NSW), dilanda hujan lebat dan banjir kilat, menurut media tempatan ABC.

Kira-kira 80 milimeter hujan turun dalam tempoh hanya satu jam, menyebabkan beberapa kenderaan terkandas dalam banjir.

Pihak berkuasa menjalankan 21 hingga 23 operasi menyelamat akibat banjir, manakala perkhidmatan kecemasan menerima lebih 550 panggilan bantuan, kata Penguasa Perkhidmatan Kecemasan Negeri NSW, Stuart Fisher.

Tiada kecederaan dilaporkan, dan pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk supaya kekal berada di dalam rumah.

Ramalan cuaca menunjukkan lebih banyak ribut dijangka melanda kawasan itu.

Negeri Victoria di tenggara Australia turut menerima amaran banjir kilat pada Isnin.

Beberapa kawasan di negeri itu mencatatkan lebih 100 milimeter hujan sepanjang hari.

Keadaan cuaca buruk menyebabkan lebih 120 permintaan bantuan diterima di kawasan berkenaan.

Queensland Utara, yang sudah terjejas akibat banjir, dijangka terus dilanda hujan lebat sepanjang musim monsun, dengan pakar meramalkan lebih banyak hujan akan turun di kawasan berkenaan.

Seorang wanita berusia 82 tahun disahkan sebagai korban kedua dalam bencana banjir di wilayah itu pada Selasa lepas.

Beberapa penduduk masih terperangkap di rumah mereka di Queensland Utara akibat banjir yang berlarutan selama 10 hari.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita