Hujan batu landa Rantau Panjang di Kelantan
Penduduk di beberapa buah kampung di Gual Sitok di Rantau Panjang, Kelantan dikejutkan dengan kejadian hujan batu pada Jumaat (23 Jul).

Fenomena hujan batu mengejutkan para penduduk di Rantau Panjang, Kelantan. (Gambar: Zalani Muloh Pokteh/Facebook)
RANTAU PANJANG: Penduduk di beberapa buah kampung di Gual Sitok di Rantau Panjang, Kelantan dikejutkan dengan kejadian hujan batu pada Jumaat (23 Jul).
Kejadian sekitar jam 4.15 petang itu berlaku di beberapa buah kampung termasuk Banggol Merbol, lapor Sinar Harian.
Fenomena berkenaan tular di laman sosial media Facebook selepas para penduduk mula mengongsi perihal kejadian tersebut.
Seorang penduduk, Muhamad Zailani Che Awang, 42 tahun, berkata kali terakhir kejadian sedemikian berlaku adalah pada 20 tahun lalu.
"Saya cukup bertuah apabila diberikan kesempatan melihat sendiri kejadian ini sekali lagi," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, segala rakaman kejadian itu akan disimpan sebagai kenangan kerana ia jarang berlaku.
Sementara itu, fenomena tersebut turut dikongsikan artis dikir barat terkenal Kelantan, Poyie Gasi atau Mohd Zainuri Mohd Zain dalam laman sosial Facebook miliknya.
Poyie berkata, beliau cukup teruja dapat melihat kejadian itu secara langsung.
"Semoga ada rahmat di sebalik kejadian itu," katanya dalam catatan tersebut, lapor Sinar Harian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.