Hubungan PH-UMNO tegang gara-gara sikap berat sebelah Ahmad Zahid
Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi berucap di sidang media setelah mempengerusi sebuah mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat pada 13 Dis 2022. (Gambar: Facebook/Bernama TV)
Sejurus selepas beberapa ahli UMNO dipecat atau digantung di pemilihan parti pada awal bulan ini, Encik Ahmad Zahid pantas melantik beberapa penyokong tegarnya untuk beberapa jawatan utama majlis agung parti yang berkuasa menggubal dasar serta agensi-agensi kerajaan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Antara mereka termasuk Setiausaha Agung UMNO Asyraf Wajdi Dusuki yang kini juga menjadi Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA). Selain itu, Ketua Wanita UMNO Noraini Ahmad dilaporkan dilantik sebagai pengerusi baru Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).
Meskipun pengurusan Encik Ahmad Zahid bagi perihal UMNO adalah urusan dalaman parti, pelantikan tersebut bercanggah dengan ikrar yang dibuat kerajaan perikatan pimpinan Pakatan Harapan (PH) semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketika itu, antara lain, PH berikrar akan menghapuskan dasar kerajaan sebelum ini iaitu melantik para ahli politik kanan untuk menyandang jawatan dalam agensi kerajaan.
Lantaran itu, tindakan Encik Ahmad Zahid menjadi peluru bagi pihak pembangkang untuk mengecam PM Anwar atas janji beliau untuk membawa pembaharuan selain memastikan Kerajaan Perpaduan mendapat sokongan berterusan UMNO.
Tindakan berkenaan juga kurang disenangi para pemimpin kanan PH yang sebelum ini meluahkan keprihatinan mereka terhadap kerjasama dengan Encik Ahmad Zahid dan UMNO.
"Membuat perjanjian dengan (Ahmad) Zahid dan UMNO akan selalu menjadi suatu masalah dan kini ia jelas dilihat," kata seorang menteri PH yang mapan kepada Mediacorp.
Beliau bagaimanapun menambah isu-isu pelantikan itu juga digembar-gemburkan kerana Encik Ahmad Zahid hanya melaksanakan tanggungjawab yang melibatkan agensi-agensi di bawah kementeriannya.
"Masalahnya dengan UMNO adalah ia percaya sekarang ia beroperasi seperti biasa walaupun sebagai rakan kerjasama minoriti dalam kerajaan dan cabaran bagi Anwar adalah untuk memastikan beliau menetapkan batasan apabila ia melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)," tambah sumber itu lagi.
Di bawah kerajaan-kerajaan sebelum ini, para pegawai UMNO dilantik ke dalam lembaga-lembaga seperti syarikat tenaga Tenaga Nasional Berhad dan anak-anak syarikatnya yang lain.
Encik Ahmad Zahid bagaimanapun mempertahankan pelantikan beliau sambil menekankan bahawa mereka yang berkemahiran saja dipilih.
Beliau merujuk kepada pelantikan Encik Asyraf, seorang ahli politik yang berpengalaman dalam perbankan Islam, sebagai Pengerusi MARA.
"Ia adalah satu kerugian untuk mempunyai pengalaman dan kelayakan sebegitu tetapi kita tidak memanfaatkannya bagi membangunkan MARA bersama," kata Encik Ahmad Zahid kepada pihak media awal minggu ini.
Beliau juga menarik perhatian bahawa pelantikan-pelantikan itu dibuat mengikut garis panduan yang ditetapkan kerajaan Malaysia.
Sejauh mana perkara tersebut bakal menjejas kestabilan Kerajaan Perpaduan akan hanya diketahui semasa enam Pilihan Raya Negeri yang dipercayai akan berlangsung sekitar bulan Jun atau Julai nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.