Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hubungan Malaysia-Iran tidak dipengaruhi pihak asing, tegas PM Anwar

Anggaran Waktu Membaca:
Hubungan Malaysia-Iran tidak dipengaruhi pihak asing, tegas PM Anwar

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim. (Gambar: Facebook/Anwar Ibrahim)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata, hala tuju kerjasama Malaysia-Iran tidak akan dipengaruhi campur tangan atau pengaruh pihak asing, sebaliknya berpandu sepenuhnya kepada manfaat dan kemakmuran rakyat kedua-dua negara.

Menerusi catatan di laman Facebook, PM Anwar berkata perkara itu disampaikan kepada bakal Presiden Iran Masoud Pezeshkian dalam perbualan telefon mereka pada Rabu (17 Jul).

"Perbualan kami kemudian menyentuh mengenai komitmen berterusan kedua-dua negara untuk memperkukuh hubungan dua hala, pelaburan dan perdagangan Malaysia-Iran selain memperluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang yang masih belum diteroka sepenuhnya," kata beliau.

Encik Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Encik Pezeshkian yang akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Iran pada 30 Julai ini, selain menzahirkan harapan untuk melihat negara itu terus berkembang pesat di bawah kepimpinannya.
Beliau juga mengucapkan takziah atas pemergian mantan Presiden Iran Ebrahim Raisi yang terkorban dalam nahas helikopter pada 19 Mei lalu.

"Saya juga sempat menyatakan penghargaan atas pendirian teguh Iran dalam perjuangan menuntut keadilan buat rakyat Palestin serta menentang kezaliman dan genosid yang dilakukan rejim Israel," katanya.

Encik Anwar berkata pada akhir perbualan itu, beliau mengundang Encik Pezeshkian ke Malaysia dan pemimpin Iran itu turut menjemputnya ke Iran untuk terus memperkukuhkan hubungan persahabatan kedua-dua negara.

Encik Pezeshkian, 69 tahun, yang juga mantan Menteri Kesihatan Iran, dipilih sebagai Presiden kesembilan dalam Pilihan Raya Iran pada 5 Julai lalu.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan