Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hubungan AS-ASEAN penting; Presiden Biden ikrar AS$100 juta tingkat kerjasama

Hubungan Amerika Syarikat (AS) dan ASEAN amat penting untuk masa depan satu bilion penduduk, kata Presiden Joe Biden sambil menyatakan komitmen AS sebanyak AS$100 juta (S$135 juta) untuk inisiatif meningkatkan kerjasama dengan 10 negara anggota blok Asia Tenggara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Hubungan AS-ASEAN penting; Presiden Biden ikrar AS$100 juta tingkat kerjasama

Gambar Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dipetik pada 25 Okt 2021 (Gambar: ANDREW CABALLERO-REYNOLDS/AFP)

Diterbitkan : 27 Oct 2021 08:24AM Dikemas Kini : 27 Oct 2021 08:25AM

SINGAPURA: Hubungan Amerika Syarikat (AS) dan ASEAN amat penting untuk masa depan satu bilion penduduk, kata Presiden Joe Biden sambil menyatakan komitmen AS sebanyak AS$100 juta (S$135 juta) untuk inisiatif meningkatkan kerjasama dengan 10 negara anggota blok Asia Tenggara itu.

“Hubungan rakan kongsi ini penting bagi mengekalkan sebuah rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, yang menjadi asas terhadap keselamatan dan kemakmuran kita sejak berdekad-dekad lalu,” katanya dalam ucapan sulung beliau pada Sidang Puncak AS-ASEAN yang diadakan secara maya pada Selasa (26 Okt).

Encik Biden berkata, AS menyokong teguh ASEAN dan masa depan Indo-Pasifik serta rantau yang berteraskan kedaulatan undang-undang.

“Hakikatnya, ASEAN amat penting, menjadi pusat terhadap rangka sebenar Indo-Pasifik dan AS komited terhadap kepusatan ASEAN.

“Kerjasama berterusan kita berkembang menjadi semakin penting, tidak berkurangan, ketika kita berjuang bersama berdepan cabaran yang bakal mencorakkan kurun ke-21.

“Melangkah ke depan, menangani pandemik COVID-19…. berdepan dengan krisis iklim, mengukuhkan pertahanan siber kita serta menghasilkan teknologi baru… menjunjung kebebasan di laut serta perdagangan dan banyak lagi… banyak lagi,” katanya.

Presiden Biden berucap sempena Sidang Puncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta Sidang Puncak berkaitan yang dipengerusikan Brunei dengan tema ‘Kita Prihatin, Bersedia, Makmur Bersama’(“We Care, We Prepare, We Prosper").

Selepas menyepi selama empat tahun, ucapan Encik Biden menjadi detik bersejarah kembalinya Presiden AS ke meja rundingan ASEAN selepas kali terakhir ketua negara AS menyertai sidang puncak ini adalah pada 2017 sewaktu pentadbiran Donald Trump.

Presiden Biden menegaskan, beliau ingin mendengar setiap ucapan pemimpin ASEAN serta perbincangan hari ini.

“Begitu juga saya mahu anda semua mendengar secara terus daripada saya, kepentingan kedudukan AS dalam hubungan kita dengan ASEAN. Anda boleh saksikan bahawa kami akan hadir.

“Seperti Naib Presiden (Kamala) Harris lakukan ketika lawatannya ke rantau ini baru-baru ini, anda juga boleh berharap saya sendiri akan hadir dan bertemu dengan anda,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa ASEAN boleh menyaksikan bahawa AS ‘akan mengukuhkan kerjasama yang sekian lama terjalin….. terus meneroka medan dialog peringkat menteri yang baru… melabur di negara anda serta memacu secara inklusif kemakmuran di rantau yang amat penting ini’.

Encik Biden mengulangi bahawa beliau ‘benar-benar berharap dapat bekerjasama dengan ASEAN untuk bukan sahaja dalam banyak lapangan bersama tetapi ‘ke arah perkongsian nilai dan wawasan serantau bersama dengan setiap negara boleh bersaing, beraksi  dan berjaya di gelanggang’.

Sumber : Bernama/SU/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan