Skip to main content

Dunia

HSR terhenti: Apakah senario seterusnya?

Projek Kereta Api Naju Singapura-Kuala Lumpur (HSR) mungkin tidak menjadi kenyataan. Tetapi pakar-pakar berpendapat ia tidak bermakna Singapura dan Malaysia akan berhenti bekerjasama untuk meningkatkan ketersambungan antara kedua-dua negara menerusi cara lain.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 01 Jan 2021 09:47PM Dikemas Kini : 01 Jan 2021 09:54PM

SINGAPURA: Projek Kereta Api Laju Singapura-Kuala Lumpur (HSR) mungkin tidak menjadi kenyataan. Tetapi pakar-pakar berpendapat ia tidak bermakna Singapura dan Malaysia akan berhenti bekerjasama untuk meningkatkan ketersambungan antara kedua-dua negara menerusi cara lain.

Hakikatnya, projek kereta api antara Johor dengan Woodlands juga boleh memberi manfaat kepada warga Singapura.

Menurut pakar ekonomi pengangkutan Profesor Madya Walter Theseira, dari Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS), perjanjian antarabangsa yang kompleks akan sentiasa ada risiko politik dan ekonomi.

Dengan perubahan kerajaan di Malaysia, Dr Theseira berkata pemansuhan perjanjian HSR bukan tidak dijangkakan.

Namun beliau mengatakan saluran bekalan antara Malaysia dengan Singapura masih berkembang dan beliau percaya kedua-dua pihak akan bekerjasama lebih erat.

"Saya rasa mulai sekarang, ia tentang meneroka baki cara-cara yang ada... memastikan bahawa Laluan Sistem Gerak Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura dibina dan meninjau sama ada kita boleh meneruskan kerjasama serta meningkatkan ketersambungan di jalan darat.

"Berhubung laluan udara, sama ada kita boleh meningkatkannya, sama ada lebih banyak slot penerbangan diperlukan dan sama ada kita mampu meluaskan lagi perjalanan udara," kata Dr Theseira.

Penolong Profesor Dr Raymond Ong dari Jabatan Kejuruteraan Sivil dan Sekitaran, Universiti Nasional Singapura (NUS) pula berpendapat, batalnya projek HSR itu mungkin berita baik bagi syarikat-syarikat pengendali bas dan syarikat penerbangan tambang murah.

"Struktur harga bagi Kereta Api Laju adalah di tengah-tengah harga operator-operator bas Singapura-Malaysia dengan harga penerbangan tambang murah.

"Jadi jika kita lihat aspek ini - dari aspek persaingan, pemansuhan HSR - para pelanggan akan lebih berkemungkinan mengambil bas atau ataupun juga penerbangan tambang murah ke Malaysia," kata Dr Ong.

Sumber : CNA/AA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita