Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hotel, perniagaan di Bintan dan Batam alu-alukan aturan perjalanan khas dengan S'pura

Hotel dan perniagaan di Bintan dan Batam mengalu-alukan ketibaan pelawat dari Singapura di bawah aturan perjalanan khas yang diumumkan baru-baru ini, dua tahun selepas COVID-19 menjejas pelancongan antarabangsa.

Anggaran Waktu Membaca:
Hotel, perniagaan di Bintan dan Batam alu-alukan aturan perjalanan khas dengan S'pura

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 25 Jan 2022 11:08PM Dikemas Kini : 25 Jan 2022 11:08PM

JAKARTA: Hotel dan perniagaan di Bintan dan Batam mengalu-alukan ketibaan pelawat dari Singapura di bawah aturan perjalanan khas yang diumumkan baru-baru ini, dua tahun selepas COVID-19 menjejas pelancongan antarabangsa.

"Kami teruja kerana ini akan menjadi aturan perjalanan khas pertama (di Indonesia)," kata Encik David Tambunan, pengarah penjualan dan pemasaran di hotel lima bintang Natra Bintan.

"Akan ada lebih ramai pengunjung, sempadan akan dibuka, jadi kami rasa keadaan akan bertambah meriah di sini," katanya.

Aturan perjalanan khas itu diumumkan oleh Menteri Penyelaras bagi Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartarto pada Isnin (25 Jan).

Orang ramai boleh mengunjungi Lagoi di Bintan dan Nongsa di Batam dari Singapura menerusi terminal feri, namun mereka tidak dibenarkan pergi ke tempat-tempat lain di kedua-dua pulau itu.

Sebelum pandemik COVID-19 melanda, Bintan dan Batam merupakan destinasi pelancongan popular bagi pengunjung dari Singapura, yang membentuk sebahagian besar pelanggan di hotel.

Tidak lama selepas koridor perjalanan itu diumumkan, Club Med Bintan menyaksikan lonjakan dalam jumlah pengunjung ke laman webnya, menurut naib presiden kanan bagi komersil syarikat itu di Asia Tenggara dan pemasaran Asia Pasifik Vincent Ong.

"Terdapat minat besar dalam kalangan rakyat Singapura serta penduduk di Singapura untuk menikmati semula keseronokan yang ditawarkan Bintan kepada keluarga, pasangan dan kumpulan teman," katanya.

Pengurus besar Banyan Tree Bintan Alpha Eldiansyah yang turut mengendalikan Angsana Bintan Resort dan Cassia Bintan, mengalu-alukan aturan perjalanan khas itu.

"Tetamu kami sudah tunggu lama untuk kembali ke sini dan tinggal di hotel kami, sama ada tetamu dari Singapura atau dari negara-negara lain.

"Ini akan membawa kesan positif kepada industri hotel di Lagoi," katanya.

Selain daripada hotel, perniagaan dan khidmat-khidmat lain juga percaya mereka akan meraih manfaat daripada aturan perjalanan khas itu.

Pengurus besar syarikat logistik Intimas Citrasarana, Encik Trevy Soenoro berkata beliau berharap perniagaannya akan bertambah rancak dengan ketibaan pelancong dari Singapura.

Pejabatnya terletak sekitar 10 kilometer dari Nongsa dan beliau sebelum ini menawarkan khidmat pengangkutan untuk hotel.

"Jika jumlah pengunjung meningkat, tentu sekali pihak hotel akan memerlukan lebih banyak bekalan daripada kami dan ini memberi kami peluang untuk mengendalikan keperluan logistik mereka," katanya.

BUTIRAN TIDAK JELAS KETIKA INI

Namun, pengendali hotel dan perniagaan menyatakan prosedur operasi standard (SOP) bagi aturan perjalanan khas itu belum lagi diumumkan oleh pemerintah Indonesia.

Pemerintah Indonesia pada Isnin menyatakan pelawat perlu diuji negatif bagi koronavirus 72 jam sebelum berlepas dan sekali lagi apabila mereka tiba di terminal feri Nongsapura di Batam atau terminal feri Bandar Bentan Telani di Bintan.

"Kami ingin tahu bagaimana aturan perjalanan khas ini akan dilaksanakan dan aturan-aturan lainnya, supaya kami dapat membuat penyesuaian terhadap operasi kami," kata Encik Tambunan dari Natra Bintan.

Sumber : CNA/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa