Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hotel kucing jadi rebutan jelang cuti Aidilfitri

Anggaran Waktu Membaca:
KUANTAN: Selepas tiga hari tempahan dibuka, khidmat hotel kucing yang ditawarkan sempena cuti Hari Raya Aidilfitri penuh sehingga ada pemilik merayu-rayu agar kucing mereka diterima untuk 'menginap' walaupun tanpa sangkar.

Bagaimanapun permintaan dan rayuan itu terpaksa ditolak secara baik memandangkan khidmat yang ditawarkan bukan sekadar menjaga makan minum kucing sebaliknya haiwan itu perlu penjagaan rapi sepanjang ditinggalkan, lapor Sinar Harian.

Itu situasi dilalui pemilik Tommy Cat Hotel dan Spa, Saiful Islam Abdul Hamid, 35 tahun, ketika berdepan pemilik kucing yang terdesak mencari tempat untuk meninggalkan kucing mereka sebelum bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri.

Encik Saiful Islam berkata, walaupun terdapat beberapa pengusaha hotel kucing lain di daerah ini, ruangan yang disediakan mereka juga difahamkan habis ditempah dalam tempoh beberapa hari sahaja.

Menurutnya, ada yang membuka tempahan lebih awal dan penuh sebelum Ramadan lagi.

"Bagi pemilik kucing yang biasa mendapatkan perkhidmatan ini mereka lebih peka dengan membuat tempahan lebih awal.

"Bila kucing-kucing ada tempat untuk ditinggalkan, mereka juga dapat bercuti dan berhari raya dengan lebih tenang.

"Berbeza bagi yang terpaksa membawa bersama kucing atau meninggalkan haiwan peliharaan itu di rumah tanpa penjagaan sepanjang ditinggalkan," katanya, seperti yang dipetik oleh Sinar Harian.

Beliau berkata, permintaan bagi hotel kucing amat tinggi bukan sahaja pada musim perayaan tetapi situasi sama turut berlaku pada musim cuti sekolah dan cuti umum yang panjang.

"Sama seperti hotel penginapan, hotel kucing juga antara kemudahan yang dicari-cari bagi pemilik haiwan itu yang berhasrat untuk bercuti atau terpaksa meninggalkan rumah kerana tugasan luar daerah dan sebagainya.

"Melihat kepada potensi hotel kucing ini, saya dan isteri, Aliah Nadhirah Azahar, 29 tahun, mengambil keputusan menjalankan perniagaan ini sejak Februari lalu selain turut menyediakan khidmat dandanan kucing dan menjual barang keperluan haiwan tersebut," katanya, menurut Sinar Harian.

Beliau yang juga seorang pencinta kucing bermula dengan menyediakan 30 sangkar standard dan dua sangkar VIP dengar kadar bayaran RM18 (S$5.42) hingga RM35 (S$10.53) semalam.

"Menguruskan hotel kucing bukan perkara mudah kerana haiwan itu agak sensitif dan mudah stres jika tidak dijaga dengan baik.

"Di sini, kami amat menitikberatkan kebajikan haiwan ini dengan menjaga makan minum, mengurus berak kencing dan mengatur jadual masa main kucing.

"Ruangannya juga perlu selesa dan bersih sepanjang masa selain pengudaraan dan pencahayaan yang baik," jelasnya.
 
Sumber : Agensi berita/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan