Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hospital Sungai Buloh bakal dijadikan hospital khas bagi penyaki berjangkit

Menyusuli penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia, Hospital Sungai Buloh di Selangor akan dijadikan hospital khusus bagi merawat penyakit berjangkit.

Anggaran Waktu Membaca:
Hospital Sungai Buloh bakal dijadikan hospital khas bagi penyaki berjangkit

Hospital Sungai Buloh di Malaysia (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 10 Mar 2020 12:38PM Dikemas Kini : 10 Mar 2020 12:44PM

PUTRAJAYA: Menyusuli penularan jangkitan COVID-19 di Malaysia, Hospital Sungai Buloh di Selangor akan dijadikan hospital khusus bagi merawat penyakit berjangkit.

Pakar Perunding Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh Dr Suresh Kumar Chidambaram berkata ini bagi memastikan kemudahan dan persiapan yang diperlukan lengkap untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan.

“Kami maklum hospital-hospital berhadapan masalah katil tetapi pengalaman di Sungai Buloh, kami telah menyelesaikan pengurusan katil, tiada masalah kekurangan katil untuk pesakit COVID-19 di hospital ini,” kata beliau mengenai pengurusan perubatan dan persediaan negara.

Dr Suresh berkata demikian pada sesi libat urus antara Kementerian Kesihatan yang dipengerusikan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dan pengamal media di Kementerian Kesihatan pada Selasa (10 Mac).

Pada masa ini, Dr Suresh berkata tingkat empat dan lima hospital itu dikhususkan untuk pesakit COVID-19 masing-masing dengan 112 katil, sementara tingkat tiga pula dengan 14 katil unit rawatan rapi (ICU) akan dikhaskan kepada mangsa yang serius dan memerlukan bekalan oksigen dan rawatan rapi.

Menurut Dr Noor Hisham, jabatan sedia ada dari dua tingkat yang dikosongkan itu dipindahkan ke kemudahan perubatan berhampiran supaya Hospital Sungai Buloh boleh menumpukan kepada penyakit berjangkit seperti kes-kes COVID-19.

Apabila ditanya sama ada hospital untuk penyakit berjangkit di Sungai Buloh adalah buat sementara waktu sehingga wabak itu berakhir, ketua pengarah kesihatan itu berkata: “Ada permintaan supaya kami mendapatkan hospital bagi penyakit berjangkit, maka kami akan jadikan Hospital Sungai Buloh sebagai hospital untuk penyakit berjangkit yang kekal.”

Beliau berkata selain Hospital Sungai Buloh sebagai pusat perubatan yang dikhususkan merawat kes COVID-19, Hospital Shah Alam dan Hospital Rehabilitasi Cheras turut memainkan peranan yang sama.

Turut hadir, pada sesi taklimat itu ialah Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Chong Chee Kheong, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Dr Rohaizat Yon dan pakar kesihatan awam Dr Wan Noraini Wan Mohamed Nor.

Dalam taklimat itu, Dr Chong berkata virus COVID-19 disebarkan menerusi titisan kecil bukannya menerusi udara dan ia boleh merebak dalam persekitaran berhawa dingin yang tertutup berbanding di bawah sinar matahari kerana suhu tinggi boleh membunuh virus berkenaan.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan