Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hospital AS siap sedia hadapi peningkatan kes selesema, COVID-19 jelang musim sejuk

Anggaran Waktu Membaca:
Hospital AS siap sedia hadapi peningkatan kes selesema, COVID-19 jelang musim sejuk

(Gambar: Spencer Platt/Getty Images/AFP)

WASHINGTON: Hospital-hospital di seluruh Amerika Syarikat (AS) bersiap sedia untuk menghadapi musim sejuk berikutan peningkatan kadar demam selesema dan kekurangan petugas.

Menurut sesetengah doktor, tumpuan kepada penjagaan kesihatan COVID-19 menyebabkan mereka mengalami masalah kekurangan petugas.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) memaklumkan kadar demam selesema dan virus pernafasan lain meningkat di beberapa bahagian di AS yang turut menyaksikan peningkatan hasil positif ujian demam selesema pada minggu lalu, lapor United Press International (UPI).

CDC menjangkakan jumlah kes selesema melonjak ke tahap pra-pandemik selepas sekatan-sekatan COVID-19 ditarik balik dan orang ramai kembali ke pejabat serta sesi persekolahan kembali berjalan seperti biasa. 

"Kemungkinan besar kita akan menyaksikan influenza kembali menular pada musim sejuk ini," kata Ketua Pegawai Pencegahan Jangkitan untuk Kesihatan UCLA Dr Dan Uslan kepada NBC News.

Dalam pada itu, Australia sedang mengalami musim demam selesema paling buruk dalam tempoh lima tahun. 

AS juga boleh terjejas teruk memandangkan hanya 49 peratus rakyat AS merancang untuk mendapatkan suntikan vaksin untuk mencegah selesema tahun ini. 

Meskipun jumlah kes COVID-19 terus menurun, berpuluh-puluh ribu kes baru masih dikesan setiap hari.

Apabila musim sejuk tiba dan lebih ramai orang duduk di rumah, bilangan virus berkaitan pernafasan dijangka meningkat dengan hospital tidak cukup kelengkapan untuk menangani lonjakan kes.

Menurut Dr Carlos del Rio dari Sekolah Perubatan Universiti Emory, sebilangan jururawat barisan hadapan bersara awal atau berhenti kerja dan ini menyebabkan banyak hospital bergelut untuk mengambil petugas baru. 

Berdasarkan data Sistem Pemantau Kesihatan, bilangan pekerja jagaan kesihatan yang berhenti kerja adalah sebanyak 23 peratus lebih tinggi berbanding semasa pandemik bermula dan hospital tidak mampu menampung jumlah kemasukan pesakit yang ramai. 

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan