Skip to main content

Dunia

Hospital Gaza terima 15 jasad warga Palestin di bawah perjanjian pertukaran gencatan senjata

Anggaran Waktu Membaca:
Hospital Gaza terima 15 jasad warga Palestin di bawah perjanjian pertukaran gencatan senjata
Perincian mengenai jasad penduduk Palestin yang diserahkan oleh Israel di bawah perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan Gaza ditayangkan di skrin di hospital Nasser di Khan Younis, Carikan Gaza, pada 8 Oktober 2025. (Gambar fail: AFP/Omar Al-Qattaa)
Diterbitkan : 05 Nov 2025 10:54PM Dikemas Kini : 05 Nov 2025 10:55PM
KHAN YOUNIS: Hospital Nasser di bandar Khan Younis, Gaza, pada Rabu (5 Nov) menyatakan ia sudah menerima jasad 15 tahanan Palestin di bawah perjanjian pertukaran gencatan senjata yang diusahakan oleh Amerika Syarikat.

"Kumpulan ke-10 jasad warga Palestin sudah tiba di Kompleks Perubatan Nasser di Carikan Gaza, yang terdiri daripada 15 jenazah," menurut hospital itu dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa 285 jasad sudahpun diterima di bawah perjanjian tersebut secara keseluruhan.

Jasad-jasad itu diserahkan sebagai pertukaran bagi mayat tebusan terbaharu yang diserahkan dari Gaza pada Selasa, iaitu askar warga Amerika-Israel Itay Chen.

Di bawah syarat perjanjian yang diusahakan oleh Amerika yang berkuat kuasa sejak 10 Oktober, Israel menyerahkan 15 jasad warga Palestin bagi setiap mayat tebusan Israel yang ditahan di Gaza.

Pada permulaan gencatan senjata, Hamas menahan 48 tebusan di Gaza - 20 hidup dan 28 yang sudah meninggal dunia.

Sejak itu, Hamas membebaskan semua tebusan yang masih hidup, serta 21 mayat.

Israel menuduh Hamas berlengah dalam menyerahkan mayat tebusan, sementara Hamas menyatakan proses itu perlahan kerana banyak jasad tertimbus di bawah runtuhan bangunan di Gaza.

Kumpulan itu berulang kali menggesa pengantara dan Palang Merah menyediakan peralatan dan kakitangan yang diperlukan untuk mencari mayat-mayat tersebut.
Sumber : AFP/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita