Skip to main content

Dunia

Hong Kong usul haramkan merokok di semua tapak binaan susuli kebakaran Wang Fuk Court

Anggaran Waktu Membaca:
 Hong Kong usul haramkan merokok di semua tapak binaan susuli kebakaran Wang Fuk Court

Kepulan asap dilihat dari apartmen selepas kebakaran besar tercetus di beberapa blok di bangunan Wang Fuk Court, 27 Nov 2025. (Gambar fail: AFP/Dale De La Rey)

HONG KONG: Pemerintah Hong Kong pada Selasa (19 Mei) membentangkan pindaan undang-undang untuk mengharamkan merokok di semua tapak binaan.

Langkah itu diambil menyusuli kebakaran besar di sebuah kompleks perumahan yang mengorbankan 168 nyawa pada tahun lalu.

Tragedi kebakaran paling dahsyat di bandar itu dalam tempoh beberapa dekad yang lalu memusnahkan tujuh daripada lapan blok apartmen di kompleks Wang Fuk Court yang terletak di utara Hong Kong pada November tahun lalu.

Kawasan perumahan itu sedang menjalani kerja-kerja pembaikan ketika kejadian itu berlaku.

Sebuah panel yang menyiasat kebakaran besar tersebut dimaklumkan pada bulan Mac bahawa punca utama kebakaran berkemungkinan besar disebabkan oleh pekerja binaan yang merokok di atas perancah (scaffolding).

Pasukan penyiasat turut dikemukakan dengan bukti bahawa penduduk setempat sudah berulang kali mengadu tentang tabiat pekerja yang merokok, namun aduan dan kebimbangan mereka tidak diendahkan.

Pindaan undang-undang ini akan "mengenakan kewajipan undang-undang yang jelas ke atas kontraktor utama kerja-kerja binaan, subkontraktor, dan sesiapa sahaja untuk melarang tabiat merokok di semua tapak binaan," menurut pemerintah dalam satu kenyataan pada Selasa (19 Mei).

Langkah ini "bertujuan untuk mengurangkan risiko berlaku kebakaran serta melindungi keselamatan para pekerja dan orang awam," tambah kenyataan itu.

Melalui pindaan tersebut, semua tapak binaan akan diwartakan sebagai kawasan larangan merokok, dan pegawai keselamatan pekerjaan di bawah Jabatan Tenaga Kerja akan ditugaskan untuk menguatkuasakan larangan ini.

Pegawai penguat kuasa juga diberi kuasa untuk mengeluarkan denda sebanyak HK$3,000 (S$487) terhadap sesiapa sahaja yang didapati merokok di tapak binaan.

Selain itu, pihak kontraktor dan subkontraktor yang gagal mengambil "semua langkah yang munasabah" untuk menghalang tabiat merokok boleh dikenakan denda maksimum sehingga HK$400,000 (S$65,370) jika disabit kesalahan.

Pemerintah Hong Kong dalam kenyataannya menyatakan harapan agar majlis perundangan akan "memberikan sokongan untuk meluluskan dengan segera" pindaan undang-undang berkenaan.
Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita