Hong Kong terus bergolak; polis lepaskan gas pemedih mata di kampus universiti
Polis antirusuhan Hong Kong melepaskan gas pemedih mata di kampus City University pada Selasa (12 Nov), sehari selepas seorang penunjuk perasaan ditembak dan seorang lelaki dibakar dalam keganasan paling dahsyat pernah menggemparkan bandar itu sejak lebih lima bulan.

Gas pemedih mata dilepaskan di City University di Hong Kong (Gambar: Facebook/City Broadcasting Channel)
HONG KONG: Polis antirusuhan Hong Kong melepaskan gas pemedih mata di kampus City University di Kowloon Tong pada Selasa (12 Nov), sehari selepas seorang penunjuk perasaan ditembak dan seorang lelaki dibakar dalam keganasan paling dahsyat pernah menggemparkan bandar itu sejak dilanda bantahan antipemerintah selama lebih lima bulan.
Sebilangan khidmat kereta api digantung dan banyak jalan raya ditutup di merata hab kewangan Asia itu buat hari kedua, dengan kesesakan lalu lintas memanjang pada waktu sibuk sebelah pagi.
Kuliah-kuliah universiti dan sekolah dibatalkan, dengan pelajar, guru dan ibu bapa semakin risau sehari selepas polis melepaskan gas pemedih mata dan para pelajar membaling bom petrol di sebilangan kampus.
Lebih 260 orang diberkas pada Isnin, menurut pihak polis, menjadikan jumlah keseluruhan seramai 3,000 orang ditangkap sejak tunjuk perasaan memuncak pada Jun.
Sebuah meriam air ditempatkan di luar ibu pejabat pemerintah, di mana Majlis Eksekutif bandar itu dijadual mengadakan mesyuarat mingguannya.
Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam berkata keganasan yang berlaku sudah melampaui tuntutan penunjuk perasaan bagi demokrasi dan para penunjuk perasaan kini dianggap sebagai musuh rakyat.
Beliau berkata "perusuh" merosakkan masyarakat dan tidak akan berjaya memenuhi tuntutan mereka melalui tindakan ganas di "wilayah pentadbiran khas" China itu.
Para penunjuk perasaan pula marah terhadap apa yang dilihat mereka sebagai keganasan polis dan campur tangan Beijing dalam kebebasan yang dijamin di bawah formula "satu negara, dua sistem" yang diperuntukkan bagi wilayah itu setelah dikembalikan kepada pemerintahan China pada 1997.
China bagaimanapun menafikan sebarang campur tangan dan sebaliknya menyalahkan negara-negara Barat kerana mengapi-apikan keadaan di Hong Kong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.