Skip to main content

Dunia

Hong Kong laporkan kematian pertama akibat virus korona

Seorang lelaki meninggal dunia di Hong Kong akibat virus korona baru dan kematiannya adalah yang pertama di bandar itu akibat jangkitan virus tersebut dan yang kedua dilaporkan di luar tanah besar China, menurut laporan media tempatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Hong Kong laporkan kematian pertama akibat virus korona

(Gambar: Reuters/Tyrone Siu)

Diterbitkan : 04 Feb 2020 01:43PM Dikemas Kini : 04 Feb 2020 01:50PM

HONG KONG: Seorang lelaki meninggal dunia di Hong Kong akibat virus korona baru dan kematiannya adalah yang pertama di bandar itu akibat jangkitan virus tersebut dan yang kedua dilaporkan di luar tanah besar China, menurut laporan media tempatan.

Pesakit berusia 39 tahun itu, yang sedang dirawat di sebuah hospital selepas dijangkiti virus berkenaan, meninggal dunia akibat kegagalan jantung secara tiba-tiba, menurut laporan pada Selasa (4 Feb).

Pihak berkuasa hospital menyatakan mangsa sebelum ini menderita daripada "penyakit sedia ada" dan melakukan lawatan ke Wuhan pada 21 Jan sebelum kembali ke Hong Kong dua hari kemudian.

Pesakit itu adalah jangkitan ke-13 yang disahkan di Hong Kong dan beliau didiagnosis pada 31 Jan, menurut laman berita HK01.

Lebih banyak perincian akan diumumkan semasa sidang media Jabatan Kesihatan dan Penguasa Hospital pada Selasa petang, meurut laporan itu lagi.

Hong Kong mempunyai 15 kes yang disahkan dijangkiti virus korona baru, termasuk satu yang dijangkiti virus tersebut di bandar itu sendiri.

Bandar itu merupakan tempat kedua di luar tanah besar China yang melaporkan kematian berkaitan dengan virus tersebut.

Filipina pada Ahad mengesahkan kematian seorang lelaki warga China dari bandar Wuhan, di mana virus itu mula dikesan.

Pemimpin Hong Kong Carrie Lam mengumumkan pada Isnin bahawa bandar itu menggantung 10 daripada 13 lintasan sempadan dengan tanah besar China dalam usaha membendung penularan virus korona baru itu. Beliau bagaimanapun belum lagi memutuskan untuk menutup kesemua laluan keluar masuk ke China.

Baki sempadan yang masih dibuka adalah lapangan terbang antarabangsa, jambatan yang menghubungkan bandar itu dengan Macau dan bandar Zhuhai di selatan China serta Shenzhen Bay Port di bahagian utara Hong Kong.

Cik Lam menolak gesaan untuk menutup kesemua sempadan, dengan mengatakan langkah sedemikian "tidak sesuai dan tidak praktikal" serta bersikap "diskriminasi".

Pengumuman Cik Lam dibuat beberapa jam selepas lebih 2,500 pekerja dari Perikatan Pekerja Penguasa Hospital mengadakan tunjuk perasaan bagi menuntut, antara lain agar semua sempadan ditutup dan perlindungan yang lebih baik diberikan kepada para kakitangan hospital.

Angka korban yang disahkan akibat penularan virus korona baru di China melonjak kepada 425 selepas pihak berkuasa di wilayah Hubei melaporkan 64 kematian baru pada Selasa. Kes jangkitan yang disahkan juga melonjak dengan 3,235 kes baru dilaporkan, meletakkan jumlah nasional kepada lebih daripada 20,400.

Jumlah kematian di tanah besar China kini melepasi jumlah kematian akibat krisis SARS dua dekad yang lalu.

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita