Hong Kong dengan rasmi tarik balik rang undang-undang ekstradisi
Pihak berkuasa Hong Kong secara rasmi menarik balik rang undang-undang ekstradisi yang mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran di wilayah khas China itu sejak Jun lalu.
HONG KONG: Pihak berkuasa Hong Kong secara rasmi menarik balik rang undang-undang ekstradisi yang mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran di wilayah khas China itu sejak Jun lalu.
Setiausaha Keselamatan, John Lee, mengumumkan penarikan balik itu di parlimen siang tadi (23 Okt) sebelum bacaan kedua rang tersebut sepatutnya dilakukan.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat memandangkan rang tersebut mencetuskan konflik dalam masyarakat.
Penarikan balik rang undang-undang itu merupakan salah satu tuntutan utama penunjuk-penunjuk perasaan.
Bagaimanapun, pengumuman keputusan yang lama ditunggu-tunggu itu dibayangi pula oleh tengkarah berkaitan pembebasan Chan Tong-kai dari penjara Hong Kong.
Berusia 20 tahun, Chan dikehendaki di Taiwan kerana disyaki membunuh teman wanitanya di pulau itu tahun lalu.
Kes Chan sudah disebut beberapa kali oleh pemimpin Hong Kong, Carrie Lam, sebagai alasan meminda undang-undang ekstradisi yang mencetuskan bantahan besar-besaran kerana dia boleh dihantar ke tanah besar China, bukan ke Taiwan, untuk dibicarakan.
China menganggap Taiwan sebagai sebuah wilayahnya yang memberontak. Lantaran itu, Hong Kong sebagai sebuah wilayah autonomi khas China tidak mengiktiraf badan kehakiman Taiwan.
Chan sendiri berkata dia akan menyerah diri kepada pihak berkuasa Taiwan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.