Hong Kong bergelut gelombang mudarat COVID-19; 40 pusat ujian baru ditubuhkan
Ketua kesihatan Hong Kong Sophia Chan memberi amaran wilayah pentadbiran khas China itu sedang bergelut dengan gelombang jangkitan COVID-19 yang amat genting.

Seorang pekerja membersihkan meja di sebuah kafe di Hong Kong pada 7 Jan 2022. (Gambar: Mladen ANTONOV/AFP)
HONG KONG: Ketua kesihatan Hong Kong Sophia Chan memberi amaran wilayah pentadbiran khas China itu sedang bergelut dengan gelombang jangkitan COVID-19 yang amat genting.
Cik Chan mengatakan terdapat beberapa rantaian penularan di dalam masyarakat. Para pegawai juga sudah menubuhkan 40 tempat ujian baru di merata bandar.
Pihak berkuasa Hong Kong menyatakan penularan pesat varian Omicron boleh mengisi penuh kemudahan-kemudahan kuarantin di Penny's Bay tidak lama lagi.
Cik Chan menambah beberapa kawasan perkhemahan dan tiga buah hotel sudhapun dikenal pasti sebagai tempat kuarantin sekiranya kemudahan awam Penny's Bay kehabisan tempat.
Sebagai ikhtiar terakhir, pihak berkuasa mungkin akan menimbangkan langkah pemulihan di rumah jika kesemua katil pengasingan penuh digunakan.
Lebih 80 orang yang menghadiri pesta ulang tahun besar-besaran bersama pegawai pemerintah dan penggubal undang-undang pada Isnin lalu sudah diarahkan untuk menjalani kuarantin di Penny's Bay. Ini selepas dua tetamu di pesta tersebut disahkan positif COVID-19.
Pemimpin Hong Kong Carrie Lam sudahpun menggantung jawatan 13 pegawai kanan yang menghadiri pesta tersebut serta mengarahkan siasatan ke atas mereka kerana memalukan pihak berkuasa di tengah-tengah penularan varian Omicron.
Skandal kesihatan awam yang semakin meluas itu tercetus sedang para penasihat kerajaan memberi amaran tentang kemungkinan lonjakan kes jangkitan dalam gelombang terkini.
Terdapat seruan agar Hong Kong meningkatkan kadar vaksinasi, terutama sekali untuk golongan warga emas. Barisan panjang disaksikan di beberapa pusat vaksinasi baru-baru ini.
Pemerintah Hong Kong juga mengumumkan bahawa status vaksinasi COVID-19 akan diwajibkan untuk memasuki restoran dan tempat-tempat awam lain bermula pertengahan Februari ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.