Skip to main content

Dunia

Hong Kong akan haramkan vape jelang pertengahan 2026

Anggaran Waktu Membaca:
Hong Kong akan haramkan vape jelang pertengahan 2026

Hong Kong berharap dapat mengurangkan kadar kelaziman merokok kepada 7.8% tahun ini, turun daripada 9.1% pada 2023. (Gambar: Michael M. Santiago/Getty Images/AFP
Michael M. Santiago / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP)

Diterbitkan : 10 Feb 2025 08:22AM Dikemas Kini : 10 Feb 2025 08:27AM
HONG KONG: Hong Kong akan mengharamkan pemilikan dan penggunaan vape di khalayak ramai menjelang pertengahan 2026, menurut pegawai kanan kesihatan bandar itu pada Ahad (9 Feb) sedang pemerintah meneruskan agenda antitembakau.

Menghisap vape kerap dilihat di Hong Kong walaupun bandar China itu melarang import, penghasilan dan penjualan vape, e-rokok dan produk tembakau sejak April 2022.

"Untuk melindungi golongan muda, kami percaya sudah tiba masanya untuk mengharamkan penggunaan vape," kata Setiausaha Kesihatan Lo Chung-mau dalam satu rancangan televisyen.

"Kami akan mulakan dengan menggubal dan menguatkuasakan undang-undang terhadap pemilikan dan penggunaan vape di tempat-tempat awam," kata Lo. "Apabila orang ramai sudah biasa dengan (larangan itu), kita akan menguatkuasakannya di semua tempat."

Dasar itu - pertama kali diusulkan pada tahun lalu sebagai larangan menyeluruh terhadap e-rokok - akan dibentangkan kepada badan perundangan pada April dengan matlamat untuk menguatkuasakannya menjelang pertengahan 2026, kata Lo.

Larangan itu akan bermula dengan tempat awam kerana akan berlaku "banyak masalah penguatkuasaan" di kawasan tertutup.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pada tahun lalu bahawa sekitar 35 negara telah mengharamkan penjualan e-rokok.

Pihak berkuasa Hong Kong berharap dapat mengurangkan kadar kelaziman merokok kepada 7.8 peratus tahun ini, turun daripada 9.1 peratus pada 2023.

Mengikut undang-undang 2022, sesiapa sahaja di Hong Kong yang mengimport e-rokok boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan didenda HK$2 juta (AS$257,000), manakala penjual dan pengilang boleh dihukum penjara sehingga enam bulan.

Lo berkata ramai orang yang masih menghisap vape di Hong Kong bergantung kepada import haram dan kartrij atau pod e-rokok telah dijadikan sebagai alat untuk penggunaan dadah rekreasi.

Pihak berkuasa Hong Kong juga sedang membanteras penggunaan etomidate - iaitu sejenis ubat bius yang sering dihidu melalui vape.

Sebagai sebahagian daripada usahanya untuk mengharamkan vape, pemerintah Hong Kong juga akan mencadangkan pada April untuk mengharamkan rokok berperisa bukan mentol.
Sumber : Agensi berita/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita