Skip to main content

Dunia

Hong Kong akan berkabung selama 3 hari bagi peringati mangsa kebakaran

Anggaran Waktu Membaca:
Hong Kong akan berkabung selama 3 hari bagi peringati mangsa kebakaran
(Gambar: Reuters/Lam Yik)
New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 29 Nov 2025 02:19PM
HONG KONG: Hong Kong pada Sabtu (29 Nov) memulakan tempoh berkabung selama tiga hari bagi 128 orang yang maut dalam kebakaran di sebuah kompleks apartmen bertingkat tinggi.

Angka korban dijangka meningkat, dengan lagi 200 orang masih belum ditemui beberapa hari selepas kejadian.

Pihak berkuasa sudah pun memberkas 11 individu terbabit dalam kebakaran terburuk pernah berlaku di bandar tersebut dalam hampir 80 tahun.

Ini sedang mereka menyiasat kemungkinan berlaku rasuah dan penggunaan bahan-bahan yang tidak selamat semasa kerja-kerja ubah suai di kompleks Wang Fuk Court.
USAHA MENCARI MANGSA DITERUSKAN

Pihak berkuasa menyatakan penggera kebakaran di estet tersebut, yang menempatkan lebih daripada 4,600 orang, tidak berfungsi dengan betul.

Pemimpin Hong Kong John Lee, pegawai dan kakitangan awam berpakaian hitam, bertafakur selama tiga minit pada awal Sabtu di luar pejabat pemerintah pusat, di mana bendera dikibarkan separuh tiang.

Buku-buku takziah disediakan di 18 tempat untuk orang awam memberi penghormatan.

Di Wang Fuk Court, para pegawai polis dari unit pengenalpastian mangsa bencana, memakai pakaian putih, topi keledar dan topeng oksigen, memasuki salah satu bangunan yang hangus untuk meneruskan usaha mencari mangsa.

Pihak berkuasa pada Jumaat menyatakan bahawa hanya 39 daripada 128 orang yang terkorban sudah dikenalpasti.

Encik Lee berkata bahawa pemerintah akan menubuhkan dana sebanyak HK$300 juta (S$50 juta) untuk membantu penduduk dan beberapa syarikat tersenarai terbesar China berikrar untuk memberi sumbangan.

7 AMAH WARGA INDONESIA TERKORBAN

Tujuh pembantu rumah warga Indonesia meninggal dunia dalam kebakaran tersebut, menurut Konsulat-Jeneral Indonesia di Hong Kong, seperti dinukil South China Morning Post.

Dalam jawapan kepada pertanyaan akhbar itu, Konsulat-Jeneral Indonesia di Hong Kong mengesahkan bahawa tujuh pembantu Indonesia disahkan meninggal dunia pada petang Jumaat, dengan dua yang lain cedera. Salah seorang daripada mereka sudah dibenarkan pulang dari hospital.

Konsulat itu menyatakan bahawa mereka sudah pun melawat tempat perlindungan sementara dan hospital untuk mengenal pasti warga Indonesia yang terjejas dan memberikan bantuan kepada mereka. Ia juga membuka stesen bantuan di Tai Po.

Ia menyatakan bahawa mereka sudah menghubungi keluarga mangsa, dan sedang memudahkan proses penghantaran jenazah ke Indonesia.

Puluhan pekerja domestik dari Filipina juga terlibat dalam kebakaran tersebut dan 19 orang masih hilang, kata Edwina Antonio, pengarah eksekutif di Bethune House, sebuah persatuan perlindungan untuk wanita hijrahan.

Hong Kong mempunyai kira-kira 368,000 pembantu rumah hijrahan kebanyakannya wanita dari negara-negara Asia berpendapatan rendah yang tinggal bersama majikan mereka, sering dalam ruang yang sempit.
Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita