Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hizbullah tambah jumlah peluru berpandu tepat sasaran kepada 2 kali ganda dalam setahun

Pemimpin Hizbullah di Lubnan berkata pada Ahad (27 Dis) kumpulannya mempunyai dua kali ganda peluru berpandu tepat sasaran sekarang berbanding setahun lalu, sambil menambah bahawa usaha Israel untuk menghalangnya daripada memperolehi senjata tersebut telah gagal.

Anggaran Waktu Membaca:
Hizbullah tambah jumlah peluru berpandu tepat sasaran kepada 2 kali ganda dalam setahun

Ketua Hezbollah, Hassan Nasrallah, menyampaikan ucapan kepada para penyokongnya (Gambar fail: Reuters/Aziz Taher)

Diterbitkan : 28 Dec 2020 11:43AM Dikemas Kini : 28 Dec 2020 11:45AM

BEIRUT: Pemimpin Hizbullah di Lubnan berkata pada Ahad (27 Dis) kumpulannya mempunyai dua kali ganda peluru berpandu tepat sasaran sekarang berbanding setahun lalu, sambil menambah bahawa usaha Israel untuk menghalangnya daripada memperolehi senjata tersebut telah gagal.

Hassan Nasrallah, dalam wawancara akhir tahun dengan stesen TV Arab Al-Mayadeen yang berpangkalan di Beirut, berkata bahawa kumpulannya mempunyai kemampuan untuk menyerang mana-mana sasaran di Israel dan wilayah Palestin yang ditakluki.

Encik Nasrallah berkata bahawa bila Israel mengancam melalui seorang pegawai AS untuk menyasarkan sebuah kemudahan Hizbullah di daerah timur Bekaa, kumpulannya memberi amaran bahawa mereka akan membalas sebarang serangan sedemikian.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini Israel menyuarakan keprihatinan bahawa Hizbullah sedang cuba membangunkan kemudahan pengeluaran untuk menghasilkan peluru berpandu tepat sasaran.

Semasa wawancara empat jam itu, Encik Nasrallah berkata ada banyak perkara berkaitan dengan kumpulannya yang tidak diketahui Israel kerana perkara itu dibataskan kepada sebuah "kumpulan sangat rapat".

Encik Nasrallah juga berkata minggu-minggu terakhir pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump adalah genting dan mesti ditangani dengan berhati-hati. Beliau menyifatkan Encik Trump sebagai "marah-marah" dan "gila."

Hizbullah adalah salah sebuah sekutu utama Iran di rantau itu dan merupakan musuh ketat Israel dan pernah terlibat dalam siri konfrontasi dengannya, terakhir pada 2006.

Encik Nasrallah mengulangi irkar bahawa Iran dan sekutunya akan membalas dendam di atas pembunuhan panglima Pengawal Revolusi Iran elit, Qassim Soleimani, dalam serangan dron oleh Amerika Syarikat setahun lalu di Iraq.

"Balas dendam itu akan berlaku, tidak kira berapa lama masa yang diambil," katanya kepada Al-Mayadeen TV.

Encik Nasrallah juga berikrar untuk membalas pembunuhan Israel terhadap seorang anggota Hizbullah di Syria awal tahun ini.

Menyentuh tentang pentadbiran Presiden Amerika Syarikat akan datang yang dipimpin Encik Joe Biden, Encik Nasrallah berkata Iran tidak akan berunding dengan Amerika Syarikat bagi pihak sekutunya atau membincangkan konflik di rantau tersebut. Beliau berkata Tehran hanya akan berunding dengan Washington mengenai perjanjian nuklear Iran.

Sumber : AP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan