Skip to main content

Dunia

Hishamuddin Rais nafi muat naik artikel hina Agong

Aktivis sosial, Hishamuddin Rais menafikan beliau memuat naik artikel berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, di blognya.

Anggaran Waktu Membaca:
Hishamuddin Rais nafi muat naik artikel hina Agong

Hishamuddin Rais. (Gambar: projekmm.com)

Diterbitkan : 08 Jun 2018 08:26AM Dikemas Kini : 08 Jun 2018 08:32AM

KUALA LUMPUR: Aktivis sosial, Hishamuddin Rais menafikan beliau memuat naik artikel berbaur hasutan terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, di blognya.

Peguamnya, Encik Zaid Malek berkata bahawa Encik Hishammuddin sudah membuat satu aduan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya semalam (7 Jun) dan mendakwa blognya digodam oleh pihak tertentu yang menulis dan menyiarkan artikel berkenaan.

“Berikutan itu, polis memanggil Hishamuddin untuk memberi keterangan di Balai Polis Petaling di sini malam ini bagi membantu siasatan dan tiada tangkapan dilakukan,” kata beliau ketika dihubungi Bernama.

Encik Zaid berkata proses merekod keterangan itu mengambil masa selama 80 minit dan selesai pada jam 12.00 tengah malam semalam.

Difahamkan Encik Zaid menemani Encik Hishamuddin ke balai polis itu kira-kira 10.30 malam setelah berhubung dengan pihak polis yang menyiasat dakwaan tersebut.

Semalam, lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Pahang membuat aduan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan terhadap Hishamuddin yang didakwa memuat naik artikel berbaur hasutan.

Berita Harian Online melaporkan bahawa Encik Hishamuddin melalui blognya www.tukartiub.blogspot.com melemparkan pelbagai kata kesat dan tuduhan melampau terhadap Agong termasuk mendakwa beliau terbabit dalam penyalahgunaan dadah.

Bagaimanapun, Encik Hishamuddin difahamkan memadamkan kenyataan itu selepas salinan tangkapan skrin mengenainya tersebar di laman sosial.

Sumber : Bernama/Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita