Skip to main content

Dunia

Hishammuddin, Khairy Jamaluddin antara 6,252 bekas ahli diterima kembali sertai UMNO

Anggaran Waktu Membaca:
Hishammuddin, Khairy Jamaluddin antara 6,252 bekas ahli diterima kembali sertai UMNO

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 18 Apr 2026 09:38AM Dikemas Kini : 18 Apr 2026 09:41AM
MELAKA: Mantan Naib Presiden UMNO Hishammuddin Hussein dan mantan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin antara bekas ahli yang diterima kembali menyertai UMNO menerusi inisiatif Gagasan Rumah Bangsa.

Setiausaha Agung UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dipengerusikan Presidennya Dr Ahmad Zahid Hamidi di Melaka pada Jumaat malam (17 Apr).

Beliau berkata turut diterima kembali tanpa syarat ialah mantan Menteri Luar Dr Syed Hamid Albar serta 6,252 mantan pimpinan dan ahli peringkat Bahagian serta Cawangan dari seluruh Malaysia.

“Ini semua nama-nama yang dibawa ke Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan (Naib Presiden UMNO) Khaled Nordin dan diangkat kepada Majlis Tertinggi tadi. Dari segi perlembagaannya, semua ini memang kena melalui Majlis Tertinggi,” katanya pada sidang media pada Jumaat.

Mesyuarat itu turut dihadiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Ab Rauf Yusoh.

Dalam pada itu, Encik Asyraf Wajdi berkata MT UMNO turut membuat pindaan terhadap Peraturan Keahlian parti dengan membolehkan pendaftaran secara dalam talian bagi mempermudah kemasukan ahli baharu terutama golongan muda, bermula Isnin ini (20 Apr).

Beliau berkata langkah itu diambil susulan tinjauan dilakukan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO di media sosial yang mendapati kira-kira 2,800 golongan muda berminat menyertai parti itu dalam tempoh dua minggu lepas.

Mengenai isu kos sara hidup, Encik Asyraf Wajdi berkata MT UMNO menyarankan negeri yang diterajui pimpinan parti iaitu Johor, Melaka, Perak dan Pahang supaya menumpukan bantuan tambahan kepada pelbagai kelompok masyarakat yang berdepan cabaran kos sara hidup, akibat krisis tenaga global susulan konflik di Timur Tengah.

Mengenai Sambutan 80 Tahun UMNO, beliau berkata pelbagai program akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bermula 1 hingga 5 Mei, termasuk Konvensyen 80 Tahun UMNO, Kongres Pendidikan Bumiputera, Karnival Keusahawanan dan Pendidikan termasuklah Majlis Khas Ramah Mesra Pemuda dan Puteri UMNO bersama ahli-ahli baharu.

Selain itu, beliau berkata mesyuarat malam ini turut memberi kebenaran kepada sayap Wanita, Pemuda dan Puteri untuk mengadakan persidangan peringkat cawangan secara fizikal dan dalam talian bagi tahun yang tidak melibatkan pemilihan parti, selaras dengan Fasal 10.15 Perlembagaan UMNO.
Sumber : Bernama/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita