Skip to main content

Dunia

Hisap vape di sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia ambil tindakan

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan bertolak ansur dengan guru yang menggunakan vape khususnya secara terbuka atau di hadapan murid.

Anggaran Waktu Membaca:
Hisap vape di sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia ambil tindakan

Kementerian Pendidikan Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan guru yang menggunakan vape secara terbuka. (Gambar fail: AFP)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan bertolak ansur dengan guru yang menggunakan vape khususnya secara terbuka atau di hadapan murid.

Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek, berkata ini kerana perbuatan tersebut melanggar Standard Guru Malaysia (SGM) yang menekankan peranan guru sebagai teladan sahsiah, lapor BH Online.

"Bagi guru yang didapati menghisap vape dan merokok dalam kawasan sekolah, tindakan undang-undang seperti didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara sehingga dua tahun boleh dikenakan berdasarkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024," kata beliau dalam satu jawapan bertulis di laman web Parlimen.

Cik Fadhlina menjawab soalan Nurul Amin Hamid (Perikatan Nasional-Padang Terap) berhubung langkah KPM bagi membendung budaya penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah khususnya apabila terdapat dakwaan segelintir guru turut menggunakan vape secara terbuka yang memberi contoh negatif kepada murid dan menjejaskan kredibiliti institusi pendidikan, lapor BH Online.

Menurut Cik Fadhlina lagi, KPM sedang meminda Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) dengan memasukkan dalam peraturan tambahan bagi larangan merokok termasuk apa-apa rokok, perkakasan, alat elektronik dan cecair bagi vape.

Pindaan baharu tersebut, kata beliau adalah selaras dengan Penguatkuasaan Akta 852 atau Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 yang diwartakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pada 1 Oktober 2024.

"Larangan ini termasuk penjualan vape kepada individu bawah umur 18 tahun dan menguatkuasakan tindakan terhadap premis yang menjual vape dalam jarak 40 meter dari sempadan atau pagar luar sekolah.

"KPM turut mengharapkan kerjasama masyarakat serta pihak berkuasa tempatan bagi memantau pembelian dan penjualan vape terhadap murid sekolah.

"Ibu bapa dan penjaga pula perlu sentiasa mengawasi perubahan tingkah laku anak-anak mereka supaya tidak terjebak ketagihan menghisap vape," kata Cik Fadhlina, seperti yang dipetik BH Online.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita