Hina pemakai burqa, PM UK minta mantan menteri mohon maaf
“Agak tidak masuk akal pandangan seperti ini diserang, kita tidak perlu masuk perangkap menutup perdebatan isu sukar", kata sumber rapat kepada Johnson kepada media.
Gambar fail Encik Boris Johnson.
LONDON: Perdana Menteri Britain, Theresa May menyokong gesaan supaya mantan Setiausaha Luarnya, Boris Johnson memohon maaf atas komen menghina mengenai pemakaian burqa di kalangan wanita Islam. Bekas pemimpin itu bagaimanapun menyelar pengkritik sebagai ‘tidak masuk akal.’
Cik May berkata, kenyataan Johnson itu ‘jelas menimbulkan rasa marah’ dan bersetuju dengan pengerusi Parti Konservatifnya, Brandon Lewis, yang meminta bekas diplomat itu memohon maaf.
“Saya benar-benar berpendapat, kita perlu berhati-hati terhadap bahasa dan terma yang digunakan. Sesetengah terma digunakan Boris bagi menggambarkan penampilan individu jelasnya menghina.
“Apa yang penting adalah, kami percaya, orang ramai mempunyai hak mengamalkan agama masing-masing dan dalam kes wanita, burqa dan niqab, memilih bagaimana mereka berpakaian,” kata Perdana Menteri itu.
Dalam tulisannya di akhbar Daily Telegraph Isnin lalu, Encik Johnson berkata, wanita yang memakai penutup muka penuh kelihatan seperti ‘perompak bank’ atau ‘peti surat,’ mencetuskan tuduhan Islamofobia.
Namun bekas diplomat kanan itu, yang memiliki reputasi kerana mencetuskan kontroversi enggan beralah.
“Agak tidak masuk akal pandangan seperti ini diserang, kita tidak perlu masuk perangkap menutup perdebatan isu sukar", kata sumber rapat kepada Johnson kepada media.
“Kita perlu membangkitkannya. Jika kita gagal bersuara untuk nilai kebebasan, kita dengan mudahnya mengalah kepada penindak balas dan pelampau.”
Dalam artikel tulisannya itu, Johnson berkata, beliau menentang larangan penutup muka penuh namun menambah, ‘tidak masuk akal orang memilih untuk keluar di khalayak ramai kelihatan seperti peti surat.’ Kenyataannya menarik kecaman daripada mantan rakan sekerjanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.