Skip to main content

Dunia

Hina agama Islam, Nabi Muhammad: Penganggur dijel 7 bulan dan didenda

Seorang penganggur dihukum penjara tujuh bulan dan denda RM10,000 (S$3,300) oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini (11 Mac) atas pertuduhan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW.

Anggaran Waktu Membaca:
Hina agama Islam, Nabi Muhammad: Penganggur dijel 7 bulan dan didenda

(Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 11 Mar 2019 06:16PM Dikemas Kini : 11 Mar 2019 06:21PM

KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dihukum penjara tujuh bulan dan denda RM10,000 (S$3,300) oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini (11 Mac) atas pertuduhan menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW dengan memuat naik kenyataan hinaan itu di laman Facebooknya, Februari lalu.

Hakim Hasbullah Adam menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohamad Yazid Kong Abdullah, 52 tahun, seorang mualaf, setelah tertuduh mengekalkan pengakuan bersalahnya hari ini yang ditetapkan untuk fakta kes dan jatuh hukum.

Dalam penghakimannya, Encik Hasbullah berkata perbuatan tertuduh yang membuat penghinaan menyentuh agama khususnya agama Islam adalah serius dan mencabar Perlembagaan Persekutuan.

“Perlembagaan Persekutuan mengatakan agama Islam adalah agama persekutuan, perbuatan kamu benar-benar mencabar Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi di negara kita. Kamu bertuah kerana dituduh di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang hanya memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun,” kata hakim itu.

Mohamad Yazid Kong yang memakai baju-T kelabu dan seluar jeans kelihatan tenang dan mengangguk perlahan.

Terdahulu sebelum prosiding bermula, isteri Mohamad Yazid Kong serta anak lelakinya berusia dua tahun hadir di mahkamah dan wanita itu menangis dengan kuat sambil berkata, “Kau fikirlah anak kau, macam mana mahu makan sehari-hari,” katanya kepada tertuduh sebelum ditenangkan peguam.

Mahkamah turut memerintahkan Mohamad Yazid Kong dipenjara dua bulan lagi jika gagal membayar denda.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Encik Muhamad Asyraf Md Kamal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan denda yang berat ke atas tertuduh yang sudah memuat naik kenyataan yang mengundang kemarahan umat Islam seluruh negara.

“Tidak akan ada seorang pun daripada kalangan masyarakat berbilang bangsa di negara kita yang boleh terima sebarang perbuatan penghinaan ke atas agama.

“Sekiranya dibiarkan berterusan ia boleh menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini seterusnya mengancam keselamatan negara,” katanya.

Ketika rayuan, peguam Encik Muhammad Syafiq Salleh yang mewakili Mohamad Yazid Kong memberitahu anak guamnya memohon maaf kepada mahkamah dan seluruh umat Islam di negara itu atas perbuatannya dan merayu hanya dikenakan hukuman penjara paling minimum mengambil kira tertuduh adalah pesalah kali pertama dan sudah mengaku bersalah ketika kali pertama dituduh.

“Anak guam saya memeluk Islam semasa ingin berkahwin dengan isteri pertama sebelum ini dan mereka sudah bercerai. Setelah memeluk Islam, dia tidak mempunyai apa-apa panduan atau sokongan berkenaan ajaran Islam.

“Dia mempunyai lima anak, empat dengan isteri pertama seorang wanita Melayu dan seorang dengan isteri baru iaitu wanita warga Indonesia,” katanya.

Jumaat lepas, Mohamad Yazid Kong mengaku bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan menghantar pesanan jelik dengan niat menyakitkan hati melalui aplikasi Facebook dengan profil nama 'Yazid Kong', pada 8.21 malam, 24 Feb 2019.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita