Skip to main content

Dunia

Hidap bipolar tapi enggan putus asa... sara keluarga dengan niaga baju

Bergelar usahawan bukan mudah bagi individu yang menghadapi masalah kesihatan mental. Namun Mohd Hafiz Almuhaimi Mohd Halim membuktikan dirinya boleh berjaya dalam bidang perniagaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Hidap bipolar tapi enggan putus asa... sara keluarga dengan niaga baju

Encik Hafiz yang didiagnos menghidap kecelaruan bipolar, menceburi perniagaan pakaian sejak 2017. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 12 Dec 2021 08:38PM Dikemas Kini : 12 Dec 2021 08:42PM

DUNGUN: Bergelar usahawan bukan mudah bagi individu yang menghadapi masalah kesihatan mental. Namun Mohd Hafiz Almuhaimi Mohd Halim membuktikan dirinya boleh berjaya dalam bidang perniagaan.

Encik Hafiz, 31 tahun, yang didiagnos menghidap kecelaruan bipolar, menceburi perniagaan pakaian sejak 2017 dan penjualan tertinggi diperolehi pada Ramadan 2018 dengan jumlah RM100,000 (S$32,400).

"Adat berniaga ada untung ada rugi tetapi saya berjaya harungi pelbagai cabaran selama ini berkat sokongan keluarga, rakan niaga, isteri, Siti Naimah Sidi Ahmad, 29 tahun, dan demi tanggungjawab membesarkan anak tersayang, Nur Huwaina yang berusia satu tahun lapan bulan.

"Kini, saya semakin serius menjual baju-T di platform Shopee dengan pendapatan bulanan bersih hampir RM4,000 (S$1,300). Alhamdulillah, jumlah itu cukup untuk saya menyara keluarga setakat ini walaupun ada kekangan kesihatan," katanya.

Awal minggu ini, Encik Hafiz menyeru di Facebook agar orang ramai memberi sokongan kepada usahawan dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) sepertinya.

Catatan beliau dikongsi secara meluas, dengan terdapat lebih 13,000 tanda suka dan 2,100 perkongsian.

CEMERLANG DALAM PELAJARAN

Orang ramai melahirkan kekaguman terhadap kecekalan Encik Hafiz hingga mampu berdikari dan memiliki keluarga sendiri sama seperti individu normal lain.

Mengimbas detik hitam mengubah kehidupannya, Encik Hafiz berkata beliau mendengar bisikan suara ketika di Tingkatan Lima dan sejak itu mula mendapatkan rawatan mental di Hospital Permai, Tampoi di Johor serta wad psikiatri di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

"Memang saya tidak boleh fokus terhadap pelajaran ketika itu kerana masalah kesihatan mental dan gangguan emosi yang berterusan... terpaksa keluar masuk hospital... namun rezeki Allah, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya sangat cemerlang dengan 7A, 3B dan 2C.

"Saya mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dan Institut Pendidikan Guru (IPG). Saya memilih ke IPG namun lokasinya pula jauh di Kedah menyebabkan saya membatalkan hasrat kerana bimbang dengan keadaan diri yang masih tidak pulih sepenuhnya. Jadi, saya bekerja dahulu untuk mencari pengalaman," kata anak keenam dari tujuh beradik itu.

Related article image

Akur dengan permintaan ibu bapa yang ingin melihat dirinya bergelar seorang pendidik, pada 2018, Mohd Hafiz Almuhaimi sekali lagi memohon ke IPG dan kali ini kampus di Batu Rakit, Kuala Nerus yang terletak kira-kira 90 kilometer dari rumahnya di Bandar Dungun.

AWALNYA DAPAT JADI GURU TAPI...

Sepanjang belajar di IPG itu, serangan penyakit tetap berlaku dan beliau bergantung sepenuhnya kepada sesi terapi dan ubat-ubatan mengikut jadual ditetapkan pihak hospital hingga tamat pengajian pada 2014 dan ditugaskan mengajar untuk kali pertama di sebuah sekolah di Sarikei, Sarawak pada 2015.

Apakan daya, serangan penyakit tanpa henti menyebabkan Encik Hafiz terpaksa berulang-alik ke Tampoi, Johor untuk mendapatkan rawatan mental hingga beliau ditamatkan perkhidmatan sebagai guru kerana dikategorikan tidak lagi layak mengajar.

Meskipun sangat kecewa, beliau tetap reda dengan keputusan itu dan pulang ke Dungun serta kembali bekerja membantu abangnya di kantin sekolah serta kilang memproses tong gas sebelum mula berjinak dalam perniagaan menjual baju-T.

Dirinya sangat bertuah kerana sentiasa mendapat sokongan keluarga untuk membuka kedai pakaian pada 2018 dan penjualannya terus melonjak hingga enam angka pada 2019 sebelum merosot teruk pada Jun 2020 akibat kemelesetan ekonomi menyusuli pandemik COVID-19 hingga terpaksa 'gulung tikar'.

Kerugian teruk dialami menyebabkan penyakitnya kembali menyerang dan terpaksa 'berkampung' selama tiga minggu di hospital. Bagaimanapun Mohd Hafiz Almuhaimi bulatkan tekad untuk tidak terus hanyut melayan perasaan dan sepanjang tempoh itu perniagaan di Shopee diuruskan oleh isteri yang sangat memahami.

Kini, beliau mampu tersenyum kerana penat lelahnya 'melawan emosi sendiri' semakin berhasil dan berharap insan senasib dengannya dapat bangkit berjuang melakukan yang terbaik dalam kehidupan. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita