Hezbollah tegaskan komitmen gencatan senjata ia liputi seluruh wilayah Lubnan
Blok parlimen Hezbollah berkata pada Jumaat (17 Apr), pihaknya komited untuk gencatan senjata dengan Israel, dengan syarat ia menyeluruh dan meliputi semua wilayah Lubnan, lapor Anadolu Ajansi.
Gencatan senjata di Lubnan dicapai sebahagian besarnya disebabkan oleh tekanan Iran dan hubungan diplomatik, menurut blok parlimen Hezbollah. (Gambar fail: REUTERS)
Kenyataan itu dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan gencatan senjata selama 10 hari di Lubnan lewat Khamis.
Dalam kenyataannya, blok "Kesetiaan pada Penentangan" menyatakan ia akan mematuhi gencatan senjata "dengan berwaspada” dengan syarat ia "termasuk semua wilayah Lubnan, khususnya kawasan sempadan, menghentikan permusuhan, menyekat pergerakan tentera Israel dan membawa kepada pengunduran sepenuhnya Israel."
Menurut blok berkenaan, gencatan senjata dicapai sebahagian besarnya disebabkan oleh tekanan Iran dan hubungan diplomatik, sambil mengecam pihak berkuasa Lubnan kerana apa yang disifatkannya sebagai "menyerah kepada tuntutan Amerika Syarikat dan mengusahakan rundingan langsung" dengan Israel.
Ia memberi amaran bahawa memulakan rundingan langsung dengan Israel bertentangan dengan kehendak nasional dan boleh membawa kepada "fasa berbahaya" untuk negara tersebut.
Kenyataan itu turut mengkritik gencatan senjata yang dihadkan kepada 10 hari, menyifatkannya sebagai percubaan untuk menekan pemerintah Lubnan dan mempercepat rundingan langsung, yang dikatakan boleh membawa kepada "akibat serius".
Sementara itu, berpuluh-puluh ribu penduduk Lubnan yang kehilangan tempat tinggal mula kembali pada Jumaat ke pinggir bandar selatan Beirut dan pekan serta kampung di selatan menyusuli pelaksanaan gencatan senjata.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.