Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hero cilik Lombok terima hadiah alat pendengaran

 Seorang kanak-kanak kurang upaya pendengaran dari Lombok yang digelar sebagai hero cilik, tidak lama lagi boleh mendengar dan bertutur selepas seorang doktor dari Malaysia menawarkan kepakarannya untuk merawatnya.

Anggaran Waktu Membaca:
Hero cilik Lombok terima hadiah alat pendengaran

Taufik, 6 tahun, dianggap 'hero cilik' gempa Lombok. (Gambar-Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 27 Mar 2019 08:11AM Dikemas Kini : 27 Mar 2019 08:15AM

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak kurang upaya pendengaran dari Lombok, yang digelar sebagai hero cilik, tidak lama lagi boleh mendengar dan bertutur selepas seorang doktor dari Malaysia menawarkan kepakarannya untuk merawatnya.

Terkesan dengan kisah Taufik yang dilahirkan tidak seperti kanak-kanak lain, pakar bedah telinga sebuah hospital swasta Malaysia, Profesor Dr Lokman Saim, tampil untuk membantu kanak-kanak itu.

"Rakan saya memaklumkan mengenai kekurangan Taufik setelah membaca laporan di akhbar dan terus menghubungi saya. Setelah melihat gambar Taufik yang tidak mempunyai cuping telinga, saya tahu itu adalah satu daripada pengkhususan perawatan saya.

"Saya juga telah menghubungi Global Peace Mission (GPM) Malaysia untuk memberitahu mengenai kesediaan saya merawat Taufik kerana difahamkan badan bukan kerajaan itu yang mencari dana untuk membantu Taufik," katanya kepada Bernama News Channel pada Selasa (26 Mac).

Dr Lokman berkata, beliau sudahpun memperolehi hasil laporan saringan awal kesihatan yang dijalankan oleh doktor yang merawat Taufik di Rumah Sakit Umum Daerah Nusa Tenggara Barat.

"Setelah meneliti laporan tersebut saya dapati berkemungkinan besar Taufik tiada cuping yang normal, tiada liang (lubang) telinga tetapi menerusi CT Scan yang dibuat, dia mempunyai koklea iaitu alat pendengaran paling dalam. Bagaimanapun saya akan membuat pemeriksaan klinikal sekali lagi.

"Terdapat dua prosedur yang boleh dibuat iaitu pembedahan biasa untuk membuat liang telinga atau menanam implan dikenali sebagai 'Bone Conduction Hearing Implant' (BAHA) iaitu sejenis alat yang ditanam di belakang cuping telinga bagi meningkatkan pendengaran pesakit," katanya.

Menurut Dr Lokman, beliau akan berlepas ke Lombok pada Khamis (28 Mac) dan menemui Taufik untuk menjalankan saringan akhir bagi menentukan prosedur yang terbaik untuk merawatnya.

Beliau berkata setelah Taufik boleh mendengar, rawatan susulan seperti terapi pertuturan akan diberikan bagi membolehkan kedua-dua anggota badan tersebut berfungsi dengan baik.

Sebelum ini, Bernama melaporkan mengenai Taufik yang digelar sebag
ai ikon ‘hero cilik’ setelah menyelamatkan enam rakyat Malaysia yang menjadi mangsa gempa bumi di Air Terjun Tiu Kelep di Senaru, Lombok, pada 17 Mac.

Dua rakyat Malaysia dilaporkan maut akibat bencana tersebut.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan