Skip to main content

Dunia

Hentikan 'percaturan politik', Malaysia harus elak defisit keyakinan untuk bangkit semula: Agong

Anggaran Waktu Membaca:
Hentikan 'percaturan politik', Malaysia harus elak defisit keyakinan untuk bangkit semula: Agong

Gambar: BERNAMA

Diterbitkan : 06 Jun 2022 10:14PM

KUALA LUMPUR:  Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkata sebarang defisit keyakinan yang wujud terhadap keupayaan negara Malaysia perlu segera ditangani bagi membolehkan negara itu bangkit semula di persada dunia.

Bagi merealisasikan perkara itu, Al-Sultan Abdullah berkata Malaysia memerlukan sebuah kerajaan yang stabil selain didukung oleh sistem penyampaian perkhidmatan dan tadbir urus yang cekap, telus, berintegriti, mesra perniagaan dan mesra rakyat. 

"Demi untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan menjadikan negara sebagai pilihan pelaburan utama di rantau ini, menuntut persefahaman dan pengorbanan semua pihak untuk mewujudkan landskap politik yang stabil dan berterusan.

"Beta benar-benar berharap agar segala percaturan politik dapat diselesaikan segera demi untuk mengelak negara dari terjerumus ke kancah 'defisit keyakinan' yang boleh menjejaskan imej dan masa hadapan negara,” titah Yang di-Pertuan Agong sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi di Istana Negara di sini pada isnin (6 Jun).

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa syukur berhubung prestasi negara pada tahun lepas yang telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang semakin baik.  

Menurutnya  perkara itu dicapai melalui strategi pengurusan kesihatan yang berkesan dan persefahaman politik sekali gus negara boleh kembali mengorak langkah untuk menjayakan agenda pembangunan.

"Situasi COVID-19 juga telah semakin pulih. Negara kini telah memasuki ke fasa peralihan ke endemik, beta merasa amat sukacita melihat rakyat beta daripada berbilang bangsa dan agama lebih positif dalam menjalani kehidupan seharian,” titah Al-Sultan Abdullah.

Tambahnya,  pembukaan semula sempadan negara bermula pada 1 April lepas juga dialu-alukan yang dilihat mampu untuk menjana dan memulihkan semula ekonomi negara. 

“Langkah ini diambil setelah kerajaan beta mengimbangi strategi pengurusan kesihatan, berbanding dengan pemulihan semula ekonomi negara yang terjejas sebelum ini,” katanya.

Al-Sultan Abdullah bertitah bagi memastikan kelangsungan dan ketahanan ekonomi pasca pandemik COVID-19, kerajaan harus terus bijak mengatur langkah dan mengambil peluang dengan meneroka pelbagai strategi baru yang berinovatif.

Bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, seramai 1,021 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2022. Seramai 45 individu menerima pingat dan darjah kebesaran masing-masing pada istiadat pengurniaan hari ini.

Sumber : Bernama/SU/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita