Henti mempolitikkan isu Zakir Naik, kata Menteri Ehwal Agama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Dr Mujahid Yusof Rawa, pada Selasa (27 Ogos) menggesa pihak-pihak tertentu supaya berhenti mempolitikkan dan mengambil kesempatan atas isu pendakwah bebas iaitu Dr Zakir Naik.

Dr Zakir Naik. (Gambar: Malay Mail Online)
BANGI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Dr Mujahid Yusof Rawa, pada Selasa (27 Ogos) menggesa pihak-pihak tertentu supaya berhenti mempolitikkan dan mengambil kesempatan atas isu pendakwah bebas iaitu Dr Zakir Naik.
Dr Mujahid menegaskan perkara sedemikian seharusnya dihentikan agar dapat menamatkan segala naratif lain yang mampu mencetuskan sentimen perkauman dan agama.
"Jangan guna kesempatan untuk ambil kepentingan yang tidak berasas dan menjawab atau bercakap dalam satu (perkara) yang tidak tahu.
"Janganlah dengan guna isu Zakir Naik, ambil kesempatan 'belasah' semua orang, akhirnya mewujudkan naratif 'mereka (kerajaan) tak jaga Islam, halau pendakwah hebat Islam'," katanya ketika menjawab soalan di sesi dialog awam Maqasid Syariah anjuran Akademi Nunji (Himpunan Ilmuwan Kebangkitan Baharu) yang diadakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam, Bangi.
Kerajaan, kata Dr Mujahid lagi, sudahpun membuat keputusan rasmi untuk tidak menghantar pulang Encik Zakir ke India. Maka itu, orang ramai tidak seharusnya membangkitkan isu kononnya ramai menteri cuma membisu berkenaan isu tersebut.
Khamis lalu, Perdana Menteri Mahathir Mohamad mengulangi pendirian kerajaan tidak menghantar Encik Zakir pulang ke India selagi penceramah bebas itu tidak membuat sebarang masalah.
"Kita ambil konsep Rahmah (Rahmatan Lil 'Alamin), sebagai contoh orang datang rumah kita, takkan kita nak halau dia keluar dan hantar dia ke musuh."
Mengenai keputusan pihak berkuasa tidak membenarkan Encik Zakir memberi ceramah di beberapa negeri ketika ini, Dr Mujahid berkata ini berikutan pendakwah berasal dari India itu masih di bawah siasatan polis dan ia adalah demi menjaga keselamatan Encik Zakir.
Pada 3 Ogos lalu, Encik Zakir dilaporkan membuat kenyataan mencetus kontroversi terhadap masyarakat Hindu serta Cina di Malaysia semasa berceramah di Kota Bharu dan ia mencetuskan desakan supaya beliau dihantar pulang ke India.
Ekoran tu, Polis Diraja Malaysia mengeluarkan arahan tidak membenarkan semua program berkaitan Encik Zakir dianjurkan di seluruh negara atas faktor keselamatan kerana ia boleh menimbulkan suasana tegang dalam kalangan masyarakat majmuk negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.