Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Helikopter terhempas; Presiden Ebrahim Raisi, Menteri Luar Iran maut

Anggaran Waktu Membaca:
Helikopter terhempas; Presiden Ebrahim Raisi, Menteri Luar Iran maut

Tangkapan skrin daripada sebuah rakaman video yang dikeluarkan oleh rangkaian televisyen negara Iran IRINN pada 19 Mei 2024 menunjukkan Presiden Iran Ebrahim Raisi (kiri) bersama seorang anggota delegasinya yang tidak dikenal pasti dalam sebuah helikopter di rantau Jolfa di wilayah barat Azerbaijan Timur. (Gambar: IRINN)

Diterbitkan : 20 May 2024 11:41AM Dikemas Kini : 20 May 2024 02:10PM

DUBAI: Presiden Iran Ebrahim Raisi dan Menteri Luarnya maut menyusuli selepas helikopker yang mereka naiki terhempas di kawasan pergunungan di tengah-tengah kabus tebal.

Demikian disahkan TV negara pada Isnin (20 Mei).

Kematian Encik Raisi kemudian disahkan Naib Presiden Mohsen Mansouri menerusi satu catatan di media sosial serta di televisyen negara.

"Presiden Raisi, Menteri Luar dan semua penumpang di dalam helikopter berkenaan maut dalam nahas tersebut," dedah seorang pegawai Iran kepada Reuters pada Isnin.

Pasukan mencari menemui bangkai pesawat berkenaan di wilayah Azerbaijan Timur. Pegawai terbabit meminta agar tidak dinamakan disebabkan sensitiviti perkara tersebut.

"Helikopter Presiden Raisi hangus terbakar dalam nahas itu... malangnya, semua penumpang dikhuatiri maut," kata pegawai itu kepada Reuters.

Televisyen negara Iran berkata tiada mangsa yang terselamat ditemui di lokasi nahas helikopter itu.

Pasukan penyelamat perlu mengharungi ribut salji dan kawasan sukar sepanjang malam untuk sampai ke bangkai pesawat di wilayah Azerbaijan Timur pada awal pagi Isnin.

"Kami boleh nampak bangkainya dan keadaan tersebut tidak kelihatan dalam keadaan baik," jelas ketua Bulan Sabit Merah Pirhossein Koolivand kepada TV negara.

Encik Raisi, 63 tahun, dipilih sebagai presiden pada 2021. Sejak memegang jawatan itu, beliau telah mengarahkan undang-undang moral diperketat, menyelia tindakan keras terhadap bantahan antipemerintah dan berusaha bersungguh-sungguh dalam rundingan nuklear dengan kuasa dunia.

Tokoh politik itu telah lama dianggap sebagai pengganti kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.

Ayatollah Ali Khamenei, berusaha untuk meyakinkan rakyat Iran, supaya tidak bimbang mengenai kepimpinan republik Islam itu, dengan mengatakan: "tidak akan ada gangguan dalam pentadbiran negara".

Media pemerintah Iran berkata cuaca buruk menyebabkan nahas dan merumitkan usaha menyelamat. Agensi berita negara, IRNA berkata, Presiden Raisi sedang terbang dalam helikopter Bell 212 buatan Amerika Syarikat.

Ketua kakitangan tentera Iran mengarahkan semua sumber tentera dan Pengawal Revolusi elit digunakan dalam operasi mencari dan menyelamat.

Terdahulu, penyiar kebangsaan Iran telah menghentikan semua rancangan biasa untuk menyiarkan majlis doa yang diadakan untuk Presiden Raisi di seluruh negara.

Negara-negara jiran menyatakan kebimbangan mereka dan menawarkan bantuan dalam operasi menyelamat.

Rumah Putih berkata Presiden Joe Biden telah diberi taklimat mengenai laporan mengenai nahas itu. Turki berkata ia telah memberikan dron, helikopter, kenderaan dan pasukan penyelamat selepas permintaan pihak berkuasa Iran. Kesatuan Eropah menawarkan teknologi pemetaan satelit kecemasan.

Sumber : Reuters/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan