Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Helikopter hilang, juruterbang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur

Anggaran Waktu Membaca:
Helikopter hilang, juruterbang terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 11 Sep 2022 11:24PM Dikemas Kini : 11 Sep 2022 11:26PM
KUALA LUMPUR: Helikopter dikendalikan seorang juruterbang yang hilang di kawasan hutan di Bidor pada Ahad (11 Sep) merekodkan kehilangan altitud secara mendadak sebelum gagal dihubungi Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC).

Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Kapten Chester Voo berkata, sistem radar di KLATCC merekodkan pergerakan helikopter berkenaan sebelum hilang pada pukul 12.16 tengah hari, seperti dinukil daripada laporan Astro AWANI.

“Sistem radar di KLATCC merekodkan kehilangan ketinggian mendadak oleh helikopter terbabit.

“Pegawai kawalan trafik udara cuba menghubungi juruterbang (namun gagal), walau bagaimanapun tiada panggilan kecemasan dibuat oleh juruterbang itu.

“Semakan daripada bacaan radar menunjukkan kehilangan ketinggian yang besar dalam masa kurang dari satu minit,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Kata beliau, Kuala Lumpur Aeronautical Rescue Coordination Centre (KLARCC) di KLATCC segera diaktifkan untuk menentukan lokasi helikopter itu, lapor Astro AWANI.

Beliau berkata, helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini berada di lokasi terakhir yang diketahui untuk menjalankan usaha mencari dan menyelamat (SAR).

Terdahulu, helikopter dengan seorang juruterbang itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada pukul 11.37 pagi untuk penerbangan persendirian dan dijadualkan mendarat pada 12.37 tengah hari di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh.

Jenis helikopter yang dikhuatiri hilang itu merupakan Eurocopter EC120B dengan pendaftaran N409HH yang dikendalikan oleh Heli Outpost Sdn Bhd.

Dalam pada itu Bernama melaporkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) juruterbang bersama helikopternya itu dihentikan sementara malam ini.

Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata operasi akan diteruskan pada pukul 8 pagi esok, memandangkan faktor cuaca tidak mengizinkan dan menentu sejak petang hingga ke malam ini.

Beliau berkata bagi tujuan SAR dan memantau perkembangan kes tersebut, sebuah Bilik Gerakan Operasi dibuka di Balai Polis Bidor, dengan kekuatan keseluruhan seramai 11 pegawai dan 68 anggota terdiri daripada pasukan polis, termasuk unit udara dan Pasukan Gerakan Am serta Jabatan Bomba dan Penyelamat selain Jabatan Perhutanan.

“Helikopter telah diterbangkan pada pukul 4 petang bagi atur gerak tugas pencarian di kawasan sempadan Hilir Perak.

“Kita menerima maklumat orang ramai terdengar letupan di Jeram Mengkuang dan ada yang katakan helikopter terbang rendah di kawasan Kampung Kenangan, jadi Pusat Kawalan Tempat Kejadian akan didirikan esok pagi di kawasan pencarian," katanya pada sidang media malam ini.

Katanya identiti mangsa belum dapat dikenal pasti namun berdasarkan maklumat Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM), hanya seorang juruterbang terlibat dan tiada penumpang yang dibawa menaiki penerbangan helikopter itu.

Difahamkan, juruterbang tersebut bukan warganegara Malaysia dan helikopter itu dipunyai seorang tokoh kenamaan bergelar Datuk.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan