Hasil ujian kedua COVID-19 Ahmad Zahid Hamidi negatif
Hasil ujian saringan kedua COVID-19 yang dijalani Dr Ahmad Zahid Hamidi Isnin lalu (21 Sep) adalah negatif.
Preisden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Hasil ujian saringan kedua COVID-19 yang dijalani Dr Ahmad Zahid Hamidi Isnin lalu (21 Sep) adalah negatif.
Perkara itu dimaklumkan peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid dalam kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menerusi WhatsApp ketika dihubungi Bernama hari ini (23 Sep).
“Keputusan ujian kedua RT-PCR Datuk Seri Ahmad Zahid yang keluar pada 9.30 malam tadi adalah negatif. Kami telah maklumkan (keputusan) kepada mahkamah dan pihak pendakwaan,” katanya.
Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Azura Mohd Saad, turut mengesahkan perkara itu.
“Saya sudah dimaklumkan (keputusan),” kata beliau.
Semasa prosiding perbicaraan kes Ahmad Zahid Isnin lalu, mahkamah membenarkan permohonan bekas timbalan perdana menteri itu untuk menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya berlangsung pada petang Isnin dan semalam selapas ujian saringan COVID-19 selesai dijalankan.
Ini setelah Hamidi memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya menjalani ujian saringan kedua di Hospital KPJ Tawakal, Kuala Lumpur, pada Isnin lalu.
Peguam itu berkata hasil ujian saringan pertama Ahmad Zahid adalah negatif.
Berdasarkan akaun media sosial rasmi milik Presiden UMNO itu, beliau berada di Sabah sejak minggu lalu bagi kempen Pilihan Raya Negeri Sabah dan tiba di sini Ahad lalu.
Ahmad Zahid berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Perbicaraan kes itu akan bersambung Isnin depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.