Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hasil idea spontan, mural pelukis ini di dinding bengkel tular di media sosial

Seorang pelukis memanfaatkan masanya yang terluang ketika ini memandangkan bengkelnya tidak dapat beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, dengan menghasilkan lukisan mural yang kreatif dan unik.

Anggaran Waktu Membaca:
Hasil idea spontan, mural pelukis ini di dinding bengkel tular di media sosial

Lukisan mural Encik Mohd Rozamil Mohd Yatim ini tular di media sosial baru-baru ini. (Gambar-gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 29 Jun 2021 09:11PM Dikemas Kini : 29 Jun 2021 09:19PM

KUALA TERENGGANU: Seorang pelukis memanfaatkan masanya yang terluang ketika ini memandangkan bengkelnya tidak dapat beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, dengan menghasilkan lukisan mural yang kreatif dan unik.

Encik Mohd Rozamil Mohd Yatim, 34 tahun menghiasi sebahagian dinding simen di bengkel miliknya di Kampung Raja Barang, Chendering dengan lukisan yang memaparkan sebuah rumah kayu klasik dengan latar belakang perkampungan tradisional tahun 1980-an.

"Idea ini datang secara spontan kerana saya teringat kenangan manis ketika berada di rumah kayu bersama nenek satu ketika dahulu. Tak sangka pula ramai yang suka dan kagum dengan hasilnya setelah saya muat naik di Facebook.

"Mungkin kerana lukisan rumah kayu ini menggamit kenangan mereka waktu kecil dahulu, lagipun kebanyakan rumah sekarang ini diperbuat dari simen, tentulah lukisan ini dapat mengubat kerinduan mereka," katanya.

Lukisan mural di dinding bengkel berkeluasan sembilan meter lebar dan tiga meter tinggi itu berjaya menarik perhatian netizen kerana selain rumah kayu, ia turut  memaparkan suasana zaman dahulu dengan tandas pintu zink, ampaian, pokok kelapa, burung, ayam ternakan, kain batik dan tempayan di tepi tangga rumah.

TERIMA TAWARAN LEPAS LUKISAN TULAR

Encik Mohd Rozamil berkata beliau mengambil masa seminggu untuk menyiapkan lukisan mural dinding itu menggunakan warna asas iaitu hitam, putih, coklat dan hijau.

"Kos hanya RM85 sahaja kerana saya banyak gunakan peralatan dan cat sedia ada. Lukisan ini dijangka mampu bertahan untuk tempoh lima tahun. Ramai juga yang mahu datang ke sini untuk bergambar kenangan selepas tamat tempoh PKP 3.0 nanti, termasuk bakal pengantin.

"Selain itu, saya turut terima tawaran untuk lukisan mural dinding di Kuala Lumpur selepas lukisan rumah kayu ini tular.... tengok nanti jika sesuai dengan harga mungkin saya terima," katanya yang mula menjadi pelukis sepenuh masa sejak tahun 2005.

Bapa kepada dua anak itu berkata beliau bersyukur kerana karya terbaru itu mampu menonjolkan lagi bakatnya sekaligus menjadi 'iklan' perniagaan di media sosial.

LEBIH GEMAR TEKNIK AIR BRUSH

Tambahnya, lukisan dinding itu hanyalah sekadar mengisi masa lapang saja kerana beliau lebih gemar menjadikan lukisan teknik 'air brush' di topi keledar, kereta dan motosikal sebagai sumber pendapatan utama perniagaannya.

Encik Mohd Rozamil berkata hasil karyanya sebelum ini banyak ditempah orang kenamaan, peminat sukan permotoran dan sukan lumba kuda, termasuk Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Malah beliau pernah membantu mengumpul dana tabung COVID-19 melalui sebahagian keuntungan hasil jualan lukisan potret Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Perdana Menteri Muhyiddin Yassin serta Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah di topi keledar pada tahun lalu.

"Harapan saya pandemik COVID-19 cepat berakhir agar saya boleh meneruskan perniagaan seperti biasa dan menghulurkan sumbangan kepada golongan memerlukan melalui bakat seni yang ada," katanya. 

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan