Skip to main content

Dunia

Hartawan Asif Aziz diberi kebenaran ubah mercu tanda London Trocadero jadi masjid

Anggaran Waktu Membaca:
Hartawan Asif Aziz diberi kebenaran ubah mercu tanda London Trocadero jadi masjid

Gambar: Twitter, iStock

Diterbitkan : 18 Jul 2023 11:16PM Dikemas Kini : 18 Jul 2023 11:56PM
LONDON: Seorang hartawan muslim telah berjaya mendapat kebenaran untuk mengubah wajah sebuah mercu tanda London menjadi sebuah masjid.

Hartawan Asif Aziz, 56 tahun, yang dikenali sebagai 'Encik West End', akan mengambil alih Trocadero, yang terletak di tengah ibu kota tersebut, lapor agensi berita The Sun.

Beliau telah mengemukakan permohonan sebelum ini untuk membina sebuah masjid, yang dapat menampung sehingga 1000 jemaah tetapi rancangannya ditarik balik kerana menerima tentangan daripada para penduduk.

Namun, Majlis Westminster kini sudah meluluskan rancangan untuk membina sebuah masjid, yang mempunyai tiga tingkat dan dapat menampung seramai 390 jemaah, lapor The Daily Mail pada Ahad (16 Jul).

Ia dijangka dinamakan sebagai Ruang Solat Piccadilly atau “Piccadilly Prayer Space” dan mungkin akan dibuka dalam masa beberapa bulan.

Bangunan Trocadero, yang terletak di antara Piccadilly Circus dengan Soho, pertama kali dibuka pada 1896 sebagai sebuah restoran - tetapi ditutup pada 1965.

Ia dibuka semula pada 1984 sebagai sebuah ruang pameran dan hiburan - dengan bangunan tersebut ditaja oleh Sega.

Ia menjalani pengurangan skala pada 2011 sebelum sebahagian daripada bangunan tersebut dibuka semula sebagai sebuah hotel pada 2020.

Encik Aziz membeli bangunan Trocadero pada harga lebih AS$363 juta (S$480 juta) pada 2005.

Beliau dipercayai sedang mengasaskan masjid tersebut melalui cabang kebajikannya, Yayasan Aziz.

Masjid itu dikatakan akan dapat dimanfaatkan bukan saja penduduk muslim yang bekerja di kawasan tersebut, bahkan pelancong muslim yang mengunjungi London.

Encik Aziz merupakan ketua eksekutif dan pengasas kumpulan hartanah Criterion Caption, yang memiliki sebilangan besar daerah West End di London.
Sumber : AGENCIES/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita