Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Harta benda rosak teruk susuli ribut, hujan lebat di Johor Bahru, Iskandar Puteri

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Sejumlah rumah, kedai serta harta benda seperti kereta dilaporkan rosak teruk susulan ribut dan hujan lebat yang melanda Johor Bahru dan Iskandar Puteri, pada petang Rabu (30 Nov).

Tinjauan Bernama mendapati antara yang terjejas ialah beberapa rumah penduduk di Kampung Pasir, di Johor Bahru yang bukan sahaja menyaksikan bumbung rumah tercabut malah turut dilanda banjir kilat.

Salah seorang penduduk kampung, Hishamudin Ma'in, 48 tahun, menggambarkan kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang itu seperti puting beliung, yang hanya reda kira-kira dua jam kemudian.

"Macam puting beliung petang tadi dengan angin yang sangat kuat, rumah saya sendiri bumbung teralih.

"Lihat ke luar tingkap langit sangat gelap dan kita tidak boleh nampak apa-apa sebab angin kuat," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di Johor Bahru.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata penduduk di kampungnya itu sudah terbiasa dengan banjir kilat namun ini merupakan kali pertama ribut berlaku di kawasan itu.

Sementara itu, Zanariah Jaafar, 44 tahun, pula berkata tempat meletakkan kenderaan dan bumbung rumahnya musnah akibat ribut sementara air banjir kilat berada kira-kira di paras lutut.

"Kereta saya juga alami sedikit kerosakan. Bagaimanapun saya lega kerana tiada kecederaan dialami ahli keluarga, tetapi agak mengejutkan juga kerana sebelum ini banjir kilat sahaja, tetapi kali ini disertai ribut pula," kata ibu kepada dua cahaya mata itu.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Skudai, PBK II Faisal Ismail menerusi satu kenyataan, berkata sebanyak tiga kereta dihempap sebatang pokok akibat ribut di Simpang Empat, Taman Ungku Tun Aminah, di Johor Bahru.

Bagaimanapun, kejadian pada pukul 3.12 petang itu tidak melibatkan sebarang kecederaan dan kesemua mangsa sempat keluar daripada kereta masing-masing.

"Pihak bomba bertindak memotong pokok dengan menggunakan dua unit gergaji sehingga selesai (bagi mengalihkan pokok dan kereta) dan operasi tamat pada pukul 5.40 petang," katanya.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan