Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Harris beri amaran bahaya jika Trump kembali jadi Presiden

Anggaran Waktu Membaca:
Harris beri amaran bahaya jika Trump kembali jadi Presiden

Gambar: AP

Diterbitkan : 30 Oct 2024 02:49PM Dikemas Kini : 30 Oct 2024 02:59PM
WASHINGTON: Calon Democrat Kamala Harris memberi amaran kepada puluhan ribu orang yang berkumpul di Washington di perhimpunan terbesarnya, bahawa pesaingnya dari parti Republican, Donald Trump sedang cuba memperolehi kuasa yang tidak terkawal.

Ini sedang persaingan semakin sengit bagi merebut jawatan presiden itu, memasuki minggu terakhir calon berkempen.

Cik Harris berucap pada Selasa (29 Okt) di perhimpunan yang diadakan di luar, yang dianggarkan dihadiri lebih 75,000 orang di satu sudut di pekarangan Rumah Putih, di mana Encik Trump sebelum ini pada 6 Januari 2021 bercakap kepada penyokongnya sebelum mereka menyerang Bangunan Capitol.

"Kami tahu siapa Donald Trump," ujar Cik Harris. Beliau berkata mantan presiden itu telah menghantar "perusuh bersenjata" ke Bangunan Capitol untuk cuba membatalkan kekalahannya dalam pilihan raya presiden 2020 tersebut.

"Ini merupakan sosok yang tidak stabil, taksub untuk berbalas dendam, penuh dengan rungutan dan mahu perolehi kuasa yang tidak terkawal," tegas Cik Harris semasa kempennya, dalam apa yang dianggap sebagai hujah penutupnya sebelum berlangsungnya pilihan raya tersebut pada 5 November.

Lebih daripada 53 juta rakyat Amerika keluar mengundi dalam pilihan raya tersebut, menurut Hab Pilihan Raya di Universiti Florida, dalam persaingan yang akan menentukan siapa yang bakal mentadbir negara terkaya dan paling berkuasa di dunia selama empat tahun.
Tinjauan Reuters/Ipsos pada Selasa menunjukkan bahawa dominasi Cik Harris kian menyusut kepada hanya 44 peratus, berbanding Encik Trump pada 43 peratus dalam kalangan pengundi yang berdaftar.

Cik Harris mendahului Encik Trump dalam setiap tinjauan Reuters/Ipsos sejak beliau menyertai persaingan tersebut pada Julai lalu, tetapi dominasinya semakin merosot sejak akhir September.
 
Sumber : Reuters/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan