Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Harimau Malaya kian terancam pupus; usaha selamatkannya diperhebat

Haiwan-haiwan ikonik Malaysia seperti harimau Malaya, gajah dan orang utan kini terancam akibat kehilangan tempat tinggal, pencerobohan manusia serta masalah pemburuan.

Anggaran Waktu Membaca:

PERAK: Haiwan-haiwan ikonik Malaysia seperti harimau Malaya, gajah dan orang utan kini terancam akibat kehilangan tempat tinggal, pencerobohan manusia serta masalah pemburuan.

Para pakar mengejar masa dalam usaha merawat salah satu haiwan pemangsa yang paling ganas di dunia ini.

Harimau bernama Hetty yang berusia 18 tahun di Perak meraung kesakitan sejak dua minggu lalu.

Pakar haiwan Zubaidah Kamarudin sedang melakukan apa yang termampu untuk meringankan beban harimau itu.

harimau malay perak

"Kita terima laporan yang dia ada masalah pada kelenjar susunya. Sejak dua minggu lepas, kelenjar susu dia bengkak dan ada masanya kelihatan berdarah. Kita teruskan dengan rawatan yang berkaitan. Kita buat ultrabunyi juga untuk periksa sistem pembiakannya," kata Pegawai Veterinar Perhilitan, NWRC, Zubaidah Kamarudin.

Pasukan perawat kini semakin kesuntukan masa sebelum ubat pelali yang diberikan tidak berkesan lagi.

Satu suntikan kemudian diberikan untuk harimau berkenaan sedar semula.

Hetty bagaimanapun terus dipantau para pakar di Pusat Hidupan Liar yang khusus untuk haiwan yang terancam dan diselamatkan.

Di sanalah haiwan liar dijaga, diberi makan dan rawatan yang diperlukan untuk memastikan mereka terus sihat.

Pusat itu kini menempatkan 19 harimau - sama ada dihantar dari taman haiwan di seluruh Malaysia, dibawa masuk selepas kes konflik harimau manusia atau untuk menyelamatkannya daripada ancaman di alam liar. Kebanyakan mereka akan menjadi harimau tawanan seumur hidup, ironinya, untuk perlindungan mereka sendiri.

Tetapi adakah usaha ini cukup untuk menghalang Harimau Malaya daripada pupus?”

Harimau Malaya adalah haiwan paling ikonik di dunia selain menjadi simbol negara Malaysia.

Kalau 50 tahun lalu ada ribuan ekor harimau Malaya, kini terdapat hanya 150 ekor di merata dunia.

Maka itu, pihak berkuasa Malaysia sedang menjalankan satu projek bagi membiak semula harimau liar.

“Di sini kita buat pembiakan. Proses pembiakan itu kita buat masa ini, kita dah buat untuk empat pasang harimau. Sejauh ini, kita dah ada 3 kelahiran," ujar Penolong Pegawai Hidupan Liar Perhilitan, NWRC, Nik Mohd Zamani.

Langkah mengurung harimau dalam kandang untuk pembiakan adalah sesuatu yang kontroversil. Namun, ia adalah salah satu cara untuk membantu memastikan penakatan hidupan liar itu.

Menurut para pecinta alam, harimau Malaya tetap akan terancam kerana kawasan tempat tinggal mereka semakin berkurangan.

Maka itu, satu keseimbangan antara pembangunan untuk manusia dan perlindungan hidupan liar harus dikekalkan.

Mungkin dengan gabungan betul antara sains, sentimen dengan semangat yang kukuh membantu memastikan harimau Malaya akan terus wujud dalam hidupan liar.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan