Skip to main content

Dunia

Harimau diuji positif COVID-19 di Taman Haiwan Bronx

Seekor harimau di Taman Haiwan Bronx, New York, diuji positif bagi COVID-19, kata institusi itu pada Ahad (5 Apr). Haiwan tersebut dipercayai dijangkiti virus itu daripada seorang penjaga yang pada waktu itu tidak menunjukkan gejala.

Anggaran Waktu Membaca:
Harimau diuji positif COVID-19 di Taman Haiwan Bronx

(Gambar: AP/Frank Franklin II)

Diterbitkan : 06 Apr 2020 11:05AM Dikemas Kini : 06 Apr 2020 11:16AM

NEW YORK: Seekor harimau di Taman Haiwan Bronx, New York, diuji positif bagi COVID-19, kata institusi itu pada Ahad (5 Apr). Haiwan tersebut dipercayai dijangkiti virus itu daripada seorang penjaga yang pada waktu itu tidak menunjukkan gejala.

Harimau Malaya berusia empat tahun yang bernama Nadia, seekor lagi harimau bernama Azul, dua harimau Amur dan tiga singa Afrika mengalami batuk kering dan dijangka pulih sepenuhnya, kata Persatuan Pemuliharaan Hidupan Liar yang mengendalikan taman haiwan bandar itu dalam satu kenyataan.

"Kami menguji haiwan itu dengan langkah amat berjaga-jaga dan akan memastikan apa-apa pengetahuan yang kami dapat mengenai COVID-19 akan menyumbang kepada pemahaman berterusan dunia mengenai virus korona baru ini," menurut kenyataan yang dihantar kepada AFP itu.

"Walaupun haiwan-haiwan itu mengalami kurang selera makan, harimau dan singa di Taman Haiwan Bronx rata-rata sihat di bawah penjagaan veterinar serta cergas, awas, dan kekal berinteraksi dengan penjaga," tambah kenyataan itu.

"Tidak diketahui bagaimana penyakit ini akan berubah dalam kucing buas kerana spesies berbeza boleh bertindak balas secara berlainan terhadap jangkitan virus baru, tetapi kami akan terus mengawasi mereka dengan teliti dan menjangkakan pemulihan sepenuhnya."

Walaupun harimau dan singa lain juga menunjukkan gejala, pihak taman haiwan memutuskan untuk menguji hanya Nadia kerana ia mengalami sakit paling teruk dan mula kehilangan selera makannya, dan mereka tidak mahu memberi ubat penenang kepada kesemuanya, kata Paul Calle, ketua doktor haiwan di Taman Haiwan Bronx, kepada Reuters.

"Harimau lain dan singa tidak terlalu sakit," katanya.

Nadia menjalani imbasan X-ray, ultrasound dan ujian darah untuk mencuba mengenal pasti penyakitnya. Mereka memutuskan untuk mengujinya untuk COVID-19 memandangkan peningkatan mendadak kes di New York City, pusat penularan utama di Amerika Syarikat.

Semua empat taman haiwan dan akuarium di New York - yang jumlah kematiannya telah mencapai 4,000 orang - ditutup sejak 16 Mac.

Taman haiwan itu menekankan bahawa "tiada bukti menunjukkan bahawa haiwan memainkan peranan dalam menularkan COVID-19 kepada orang lain selain peristiwa awal di pasar Wuhan, dan tidak ada bukti bahawa mana-mana orang dijangkiti COVID-19 di Amerika Syarikat oleh haiwan, termasuk anjing peliharaan atau kucing."


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : AFP/Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita