Haribo tarik balik gula-gula kola dicemari ganja di Belanda
Pengeluar gula-gula Haribo pada Khamis (29 Mei) mengeluarkan arahan untuk menarik balik satu kelompok gula-gula berperisa kola di Belanda selepas pihak berkuasa melaporkan beberapa individu jatuh sakit setelah memakan gula-gula yang dicemari ganja.
Pengeluar gula-gula Haribo menarik balik pengeluaran sekelompok gula-gula kolanya akibat pencemaran ganja. (Gambar hiasan: Pixabay/Marys_fotos)
Pencemaran itu dikesan dalam tiga bungkusan gula-gula Happy Cola F!ZZ keluaran Haribo, menurut satu amaran daripada syarikat tersebut yang dikongsi pihak berkuasa keselamatan makanan dan produk pengguna Belanda. Pihak berkuasa itu memberi amaran bahawa gula-gula tersebut boleh menyebabkan “aduan kesihatan seperti pening apabila dimakan.” Ia turut menambah: “Jangan makan gula-gula ini.”
Pihak berkuasa yang menjalankan siasatan menyatakan beberapa individu, termasuk kanak-kanak, jatuh sakit selepas memakan gula-gula berbentuk botol kola itu. Gula-gula berkenaan dimakan oleh keluarga dari wilayah Twente di timur Belanda, menurut kenyataan polis Belanda, yang menyatakan bahawa “kesan gula-gula tersebut amat ketara, terutamanya ke atas kanak-kanak kecil.”
Sampel gula-gula tersebut disahkan positif mengandungi ganja, kata jurucakap pihak berkuasa keselamatan makanan, Saïda Ahyad, dalam satu kenyataan. “Bagaimana ganja boleh dijumpai dalam gula-gula ini masih belum diketahui. Polis sedang menjalankan siasatan lanjut.”
Polis Belanda enggan mendedahkan berapa ramai yang sudah memakan gula-gula tersebut secara keseluruhan, dengan alasan masih terlalu awal untuk berkongsi maklumat lanjut.
Haribo, yang diasaskan di Jerman pada 1920, terkenal dengan produk gula-gula "gummy" beruangnya. Kini, syarikat itu mengedarkan pelbagai jenis gula-gula "gummy" ke lebih 120 negara.
Menurut laman Haribo Belanda, walaupun hanya tiga bungkusan tercemar yang sudah dikenal pasti setakat ini, syarikat itu menarik balik keseluruhan kelompok gula-gula berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga. Penarikan balik itu melibatkan bungkusan seberat 1 kilogram yang dijual di Belanda dan mempunyai tarikh luput pada Januari 2026.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.