Skip to main content

Dunia

Hari Penentu untuk dinasti politik Thailand

Anggaran Waktu Membaca:
Hari Penentu untuk dinasti politik Thailand

Penunjuk perasaan anti-kerajaan berhimpun menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, di Tugu Kemenangan, Bangkok pada 28 Jun 2025. (Gambar fail: AFP/Chanakarn Laosarakham)

BANGKOK: Dinasti politik yang menerajui kerajaan Thailand berdepan cabaran undang-undang baharu pada Selasa (1 Jul) dengan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra berisiko digantung tugas oleh Mahkamah Perlembagaan dan bapanya pula, Thaksin Shinawatra yang merupakan mantan perdana menteri negara itu, dijangka dibicarakan bagi kes berasingan.

Landskap politik Thailand telah dikuasai selama bertahun-tahun oleh perbalahan antara golongan elit konservatif, pro-tentera, pro-raja dan penyokong keluarga Shinawatra, yang mereka anggap sebagai ancaman terhadap aturan sosial tradisional Thailand.

Encik Thaksin Shinawatra, berusia 75 tahun dan dua kali dipilih sebagai pemimpin Thailand pada awal tahun 2000-an, dijadual hadir di mahkamah jenayah atas tuduhan melanggar undang-undang lese majeste yang yang digunakan untuk melindungi Raja Thailand daripada kritikan atau penganiayaan.

Dakwaan itu berpunca daripada temu bual pada 2015 dengan media Korea Selatan dan boleh mengakibatkan hukuman penjara sehingga 15 tahun selepas perbicaraan ditetapkan selama berminggu-minggu, dengan keputusan tidak dijangka diumumkan sekurang-kurangnya sebulan selepas itu.

Sementara itu, Mahkamah Perlembagaan Thailand dijangka bermesyuarat buat kali pertama sejak sekumpulan senator konservatif mengemukakan kes terhadap Cik Paetongtarn, menuduhnya melanggar etika menteri semasa berlaku pertelingkahan diplomatik dengan Kemboja.

Jika mahkamah memutuskan untuk membicarakan kes itu, mahkamah boleh menggantung tugas Cik Paetongtarn, dengan perbicaraan kes tersebut mungkin mengambil masa selama berbulan-bulan, sekali gus menjerumuskan Thailand ke dalam keadaan huru-hara ketika ia bergelut dengan ekonomi yang meruncing dan ancaman tarif Amerika.

"Saya akan membiarkan proses itu berjalan dengan lancar," kata Cik Paetongtarn kepada para wartawan di Bangkok pada Isnin (30 Jun). "Jika anda bertanya sama ada saya bimbang, ya saya risau."

Cik Paetongtarn yang berusia 38 tahun memegang jawatan perdana menteri kurang setahun lalu tetapi terpalit dengan skandal berhubung tingkah lakunya dalam pertikaian dengan negara jiran Kemboja.

SKANDAL PANGGILAN TELEFON DIBOCORKAN

Pertikaian wilayah yang sudah lama berlarutan menjadi pertempuran rentas sempadan pada bulan Mei, meragut nyawa seorang askar Kemboja.

Tetapi apabila Cik Paetongtarn menghubungi mantan pemimpin Kemboja Hun Sen untuk membincangkan ketegangan itu, beliau menyifatkannya sebagai "bapa saudara" dan merujuk kepada seorang komander tentera Thai sebagai "seterunya", menurut rakaman dibocorkan yang menyebabkan tindak balas yang meluas.

Para penggubal undang-undang konservatif menuduhnya tunduk kepada Kemboja dan melemahkan kewibawaan tentera, dan menuduh Cik Paetongtarn melanggar peraturan perlembagaan yang menuntut "integriti yang jelas" dan "standard etika" dalam kalangan menteri.

Parti Pheu Thai pimpinan Cik Paetongtarn telah pun ditinggalkan oleh rakan utamanya dalam kerajaan, meninggalkannya dengan majoriti parlimen yang tipis dan terpaksa bergantung kepada parti lain.

Sekitar 10,000 orang berhimpun di bahagian tengah Bangkok pada hujung minggu lalu untuk membantah pentadbirannya.

Rating sokongan terhadap Cik Paetongtarn menjunam kepada hanya sembilan peratus, turun daripada kira-kira 30 peratus tiga bulan lalu, menurut hasil tinjauan yang dikeluarkan pada Ahad lalu oleh Institut Pentadbiran Pembangunan Nasional Universiti Bangkok

Kes Cik Paetongtarn dan perbicaraan ke atas bapanya adalah pertikaian terbaharu dalam perebutan sengit selama berdekad-dekad antara kumpulan-kumpulan konservatif Thailand dan pihak-pihak yang dikaitkan dengan Encik Thaksin.

Encik Thaksin digulingkan dalam rampasan kuasa pada 2006, manakala kakak Cik Paetongtarn, Yingluck Shinawatra mengalami nasib yang sama pada 2014 dan perdana menteri lain daripada gerakan politik mereka telah dipecat menyusuli keputusan mahkamah.

Selepas 15 tahun di luar negara, Encik Thaksin kembali ke Thailand pada Ogos 2023.

Beliau dengan serta-merta diperintahkan menjalani hukuman penjara selama lapan tahun atas kesalahan rasuah dan tuduhan penyalahgunaan kuasa, tetapi dibawa ke hospital atas alasan kesihatan dan kemudiannya diampunkan oleh Raja Thailand.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita