Skip to main content

Dunia

Hari Penamaan Calon PRN Sarawak bermula hari ini

Hari ini (6 Dis) merupakan Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Anggaran Waktu Membaca:
Hari Penamaan Calon PRN Sarawak bermula hari ini

Hari Penamaan Calon pada 6 Dis 2021 bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 06 Dec 2021 09:17AM Dikemas Kini : 06 Dec 2021 09:18AM

KUCHING: Hari ini (6 Dis) merupakan Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Sebanyak 82 kerusi dipertandingkan di negeri terbesar Malaysia itu, dengan pencalonan berlangsung antara pukul 9.00 dengan 10.00 pagi.

Sejumlah 1,252,014 pengundi yang berdaftar layak untuk mengundi pada 18 Disember ini, dengan pengundian awal ditetapkan pada 14 Disember.

Buat kali pertama kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan empat parti komponen - iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) - akan bertanding sejak ia bertindak keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 2018.

Di PRN Sarawak 2016 yang lalu, empat parti itu serta ‘calon langsung’ berjaya menawan 72 kerusi, termasuk dua yang dimenangi tanpa bertanding iaitu di Bukit Sari dan Bukit Kota.  

Ketua Menteri Abang Johari Openg merupakan Pengerusi GPS dan beliau juga adalah Presiden PBB.

Beliau, yang dikenali ramai dengan panggilan Abang Jo, akan bertanding di kawasan luar bandar di Gedong buat kali pertama, meninggalkan kerusi Satok yang menjadi miliknya selama 40 tahun, untuk ditandingi oleh Timbalan Pengerusi PBB Satok, Ibrahim Baki.

Jumlah calon bertanding dijangka melebihi rekod 229 pada tahun 2016, berdasarkan pengumuman oleh beberapa parti politik yang sudahpun menamakan calon masing-masing menjelang Hari Penamaan Calon.

Ia termasuk DAP, PKR, Parti Sarawak Bersatu (PSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), Parti Bangsa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) dan PAS.

PRN terpaksa ditangguhkan pada pertengahan tahun ini disebabkan pandemik COVID-19 demi menjaga keselamatan rakyat.

Darurat di seluruh negara diisytiharkan dari Januari hingga Ogos dan seterusnya di Sarawak, dilanjutkan selama enam bulan lagi, namun ia ditarik semula pada 3 November atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, yang memberi laluan kepada PRN Sarawak.

Bagi mengelak penularan jangkitan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan aktiviti kempen dalam kawasan Dewan Undangan Negeri masing-masing, namun kempen di luar kawasan yang ditandingi tidak dibenarkan.

Ceramah serta syarahan umum bagaimanapun dibenarkan di 64 kawasan Dewan Undangan Negeri yang memiliki liputan internet lemah. Jumlah yang hadir tidak dibenarkan melebihi 50 peratus daripada kapasiti tempat atau 150 orang pada satu-satu masa.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita